
Polis Kelantan menjejaki seorang lelaki berusia 39 tahun yang dikenali sebagai Mohd Faisal Mohd Hanaffi bagi membantu siasatan berhubung rampasan 200kg syabu bernilai RM6.4 juta di Kampung Bechah Resak, Chabang Empat, Tumpat pada Ahad lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, lelaki itu merupakan pemilik Mitsubishi Pajero yang digunakan untuk membawa dadah tersebut.
“Semasa penugasan Op Taring Wawasan pada kira-kira jam 8.30 malam, Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan telah mengekori sejauh 15km Mitsubishi Pajero yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kasban menghala ke Sekat Pintas Nibong.
“Ketika cuba ditahan, pemandu kenderaan bertindak melarikan diri dan merempuh penghalang jalan.
“Kenderaan tersebut telah dikejar sehingga ke Kampung Bunohan, dengan suspek bertindak menghimpit kenderaan anggota,” katanya.
Tambah beliau, Pajero itu berhenti di Kampung Bechah Resak akibat tayar pancit namun dua suspek dalam kenderaan tersebut meloloskan diri ke kawasan belakang rumah penduduk kampung.
Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan 200 bungkusan plastik mengandungi dadah disyaki syabu seberat 200kg.
Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dan usaha mengesan kedua-dua suspek sedang giat dijalankan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut diminta menghubungi polis pada talian 0197400741 atau balai berhampiran,” katanya.