
Jenama motosikal elektrik, Charged Indonesia memperkenalkan produk terbaru Charged Baycat untuk kegunaan harian dengan prestasi optimum dan rekaan bergaya.
Menurut Charged Indonesia, Baycat diambil sempena nama kucing merah yang merupakan haiwan asal dari daerah Kalimantan yang terkenal dengan kelincahan dan pesonanya.
Ia sesuai dengan karakter Charged Baycat yang ideal untuk tunggangan dalam bandar. Reka bentuk Baycat merupakan hasil sentuhan pereka Itali, Adrian Morton dengan penampilan minimalis dan ramping.
Motosikal dengan berat badan 92kg (tanpa bateri) itu didatangkan dengan pilihan bateri tunggal 2.2kWh dan dua bateri 4.4kWh berkuasa 4kW.
Ia menawarkan kelajuan maksimum 85kmj dan tunggangan dengan sejauh 170km dengan bateri penuh.
Motosikal elektrik itu juga didatangkan dengan teknologi terkini Super Fast Charging 6000watt yang mana operasi pengecasan bateri hanya mengambil masa 30 minit bermula kosong hingga 80 peratus.
Manakala bagi isian penuh 100 peratus pula hanya mengambil masa 40 minit sedangkan mod cas standard 700watt memerlukan masa sehingga 180 minit.
Keselesaan tunggangan diserahkan kepada suspensi peredam hidraulik yang kemudian disokong dengan brek cakera.
Charged Baycat tersedia dalam tiga pilihan warna iaitu Arctic White, Gun Metal Grey, dan Mystic Red pada harga IDR 29,880,000 bagi satu bateri (RM8,052) dan Rp37,880,000 (RM10,207) untuk dua bateri.