Lamborghini Temerario: Kuasa V8 biturbo hibrid, 920 ps, 10,000 rpm!

9

Lamborghini sudah memasuki dunia elektrifikasi seperti kebanyakan pengeluar lain melalui penawaran Revuelto, Urus SE dan terbaru Temerario.

Mungkin ada yang merasa sedih namun enjin pembakaran masih lagi wujud cuma dipadankan bersama perkakasan elektrik.

Temerario sebagai model kedua dalam siri High-Performance Electrified Vehicle (HPEV) dikuasakan enjin 4.0L V8 biturbo yang direka sepenuhnya di Sant’Agata Bolognese.

Kereta sport super ini menggabungkan enjin V8 biturbo berputaran tinggi dengan tiga motor elektrik dan memberikan kuasa dan tork luar biasa.

Enjin mampu mencapai 10,000 rpm dan kuasa keseluruhan setinggi 920 ps.

Pecutan 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya memerlukan 2.7 saat dan kelajuan maksimum mencecah 340 km/j.

Enjin V8 Biturbo 800 ps, 730Nm

Enjin V8 Biturbo menghasilkan 800 ps di antara 9,000 rpm sehingga 9,750 rpm dan daya kilas 730 Nm di antara 4,000 sehingga 7,000 rpm.

Motor elektrik di kedudukan P1 (antara enjin V8 dan transmisi) membantu mengisi jurang tork, memberikan respons serta kuasa linear sehingga 10,000 RPM.

Dua pengecas turbo dipasang dalam ruang V enjin (Hot V8) bagi mengoptimumkan susun atur dan pengurusan haba.

Untuk mencapai rev yang tinggi, Lamborghini menggunakan beberapa teknologi daripada dunia perlumbaan.

Di antaranya aci engkol flat-plane untuk corak pembakaran lebih sekata di antara dua bahagian silinder dan mengoptimumkan dinamik aliran serta bunyi mengasyikkan.

Rod penyambung titanium dengan bahan ringan dan tahan lasak mengurangkan jisim putaran.

Finger follower (pengikut injap) bersalut Diamond Like Carbon (DLC) meningkatkan ketahanan dan boleh menampung kelajuan sehingga 11,000 rpm.

3 Motor Elektrik dan Sistem Hibrid

Temerario menggunakan tiga motor elektrik, dua di gandar hadapan dan satu dalam enjin V8.

Dua motor elektrik hadapan (110 kW setiap satu) memberikan pacuan semua roda (AWD) dan tork tambahan sebanyak 2,150 Nm.

Motor elektrik dalam enjin bertindak sebagai pengisi jurang tork, meningkatkan tindak balas enjin dan berfungsi sebagai penjana untuk sistem hibrid.

Bateri litium-ion 3.8 kilowatt-jam (kWj) memerlukan 30 minit untuk pengecasan penuh (7 kW).

Bateri juga boleh dicas semula menggunakan brek regeneratif atau terus dari enjin V8.

Bateri diletakkan di terowong tengah untuk mengoptimumkan keseimbangan berat dan pusat graviti.

Kotak Gear Cekam Berkembar (DCT) 8-Kelajuan

Kotak gear DCT lapan kelajuan diletakkan secara melintang di belakang enjin untuk memberi ruang kepada bateri di terowong tengah.

Kotak gear direka khas bagi mengurangkan berat dan saiz tanpa menjejaskan prestasi.

Kotak gear ini tidak menggunakan konfigurasi DCT standard dan dilengkapi aci berongga tambahan yang membolehkan penyegerakan gear dikongsi antara laluan tork berbeza.

Tanpa komponen elektrik, kotak gear Temerario lebih ringan berbanding DCT tujuh kelajuan Huracán dan tukaran gear lebih pantas.

Gear kelapan dengan nisbah panjang membantu mengurangkan rpm enjin, menjimatkan bahan api dan meningkatkan keselesaan ketika pemanduan biasa.

Seperti yang dinyatakan, penempatan melintang memberi ruang tambahan untuk bateri litium-ion di tengah kereta dan mengoptimumkan berat.

Sistem Lamborghini Dinamica Veicolo (LDV) 2.0 dengan torque vectoring memberikan kestabilan dan kelincahan optimum dalam selekoh tajam.

Mod Pemanduan dan Kejuruteraan Bunyi

Temerario mempunyai empat mod pemanduan iaitu Città, Strada, Sport dan Corsa dan setiap satu dengan profil bunyi unik.

Mod Città menggunakan pacuan elektrik sepenuhnya yang senyap sesuai untuk bandar.

Mod Strada menghasilkan bunyi V8 biturbo yang harmoni dan seimbang, sesuai untuk perjalanan jauh.

Mod Sport dan Corsa pula mengeluarkan bunyi lebih agresif dengan nada garang dan jelas.

Pada kelajuan tinggi sehingga 10,000 rpm, pemandu dan penumpang dapat menikmati bunyi kuasa yang unik dan bertenaga yang mencerminkan identiti Lamborghini.

Jeritan bunyi 10,000 RPM

Lamborghini memberikan perhatian khusus kepada pengalaman bunyi Temerario untuk hiburan halwa telinga yang unik dan mengasyikkan.

Sambungan khas di antara bahagian silinder enjin membantu menghasilkan bunyi lebih jelas dan sporti bergantung pada kelajuan enjin.

Paip ekzos direka khas supaya bunyi enjin lebih jelas, tajam dan bertenaga.

Reka bentuk ekzos yang tinggi dan kedudukan melintang  memberi fokus pada nada tinggi dan menonjolkan bunyi enjin.

Selain itu aci engkol flat-plane menghasilkan getaran halus yang dapat dirasai pada kelajuan tinggi dan ketika enjin beroperasi pada kuasa maksimum.

Penyama Bunyi (Sound Symposer) menghantar gelombang bunyi ke dalam kabin untuk pengalaman audio yang lebih mendalam.

Akhir kata, Temerario melambangkan evolusi Lamborghini dengan menggabungkan warisan prestasi dan teknologi masa depan selain melangkah lebih jauh dalam dunia elektrifikasi.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here