Jaecoo Malaysia rasmi lancar J7 PHEV, harga RM158,800

25

Jaecoo Malaysia rasmi memperkenalkan Jaecoo J7 kenderaan elektrik plug in hibrid (PHEV) pada harga RM158,800 menerusi varian spesifikasi tertinggi.

Model pemasangan tempatan (CKD) di kemudahan Chery di Shah Alam itu menggunakan enjin generasi kelima Jaecoo iaitu 1.5 turbo petrol berkuasa 105kW dan tork 215Nm bersama transmisi super elektrik hibrid DHT. 

Untuk mencapai kecekapan maksimum, ia menggunakan teknologi canggih seperti kitaran Deep Miller, sistem pelincir pintar, pengurusan haba pintar dan sistem peredaran semula gas ekzos.

Kemudian janakuasa itu dipadankan dengan motor elektrik berkuasa 150kW dan tork 310Nm menjadikan output keseluruhan adalah 255kW dan tork 525Nm. 

Hantaran kuasa ke roda depan membolehkan J7 PHEV memecut dari 0-100kmj dalam tempoh 8.5 saat dengan kelajuan maksimum 180kmj.

Komponen seterusnya adalah bateri voltan tinggi 18.3 kWj yang dibina menggunakan reka bentuk Bilah Fosfat Besi Litium 106 sel, memastikan pemandu boleh mengecas hingga 100 peratus.

Manakala sistem pengurusan bateri pintarnya tidak pernah membiarkan cas jatuh di bawah 20 peratus. Reka bentuk ini menjamin kesihatan dan prestasi optimum bateri sepanjang kitaran hayatnya.

Dengan unjuran jarak penggunaan sehingga 1 juta kilometer, sistem ini diperkukuh dengan perisai bateri 780 mpa untuk mencegah nyahcas walaupun semasa perlanggaran, selain kalis tusukan.

SUV itu juga menyokong pengecasan DC pantas yang disediakan buat pertama kali dalam sebuah PHEV. Pengecasan 40kW membolehkan isian bateri daripada 30 hingga 80 peratus dalam masa 20 minit sahaja.

Di rumah, pemilik boleh mengecas menggunakan kotak dinding AC 6.6kW (boleh dibeli secara berasingan) yang mana pengecasan mengambil masa 4 jam dari kosong hingga 100 peratus.

Tiga komponen teras sistem super hibrid membolehkan J7 PHEV mendapatkan jarak perjalanan sehingga 1,300km (NEDC) dengan satu tangki penuh dan sekali cas.

CIRI PERALATAN LUARAN & KABIN

J7 PHEV didatangkan dengan lampu depan LED bersama lampu nyala siang LED dan ciri ‘follow me home‘, pintu but berkuasa elektrik, hendal pintu yang disatukan dengan badan, rim aloi 19-inci dan rel bumbung.

Semua J7 PHEV juga dilengkapi dengan pengecas Vehicle to Load (V2L) secara percuma.

Manakala masuk ke kabin, versi PHEV itu dilengkapi dengan kluster instrumen 10.25 inci bersama paparan head up, skrin hiburan 14.8 inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto menggunakan wayar, pengecas telefon tanpa wayar dengan sistem penyejuk, kamera perakam, empat pengecas USB jenis A dan C, lapan pembesar suara Sony serta bumbung panorama dan 64 warna pencahayaan. 

Demi ketenangan minda pemilik, ia dilengkapi dengan ciri keselamatan ADAS Tahap 2.5 yang komprehensif bersama lapan beg udara sebagai standard dan disokong oleh ciri-ciri yang ditambahbaik seperti Sistem Pemantauan Pemandu, Pencegahan Keluar Lorong dan Kawalan Halaju Adaptif.

WARANTI

J7 PHEV didatangkan dengan waranti kenderaan tujuh tahun atau sehingga jarak 150,000km dan waranti lapan tahun atau sehingga jarak 160,000km bagi bateri, motor kuasa dan unit pengawal motor kuasa.

Waranti lapan tahun menawarkan pertukaran 1 dengan 1 apabila keadaan hayat (SOH) bateri jatuh di bawah 70 peratus dalam tempoh jaminan.

Sempena dengan pelancaran, Jaecoo mengumumkan pakej istimewa pembeli awal yang melayakkan semua tempahan J7 PHEV sedia ada dan tempahan yang dibuat sehingga 2 Mac 2025 untuk menerima waranti enjin dan bateri voltan tinggi lanjutan selama 10 tahun atau sehingga jarak 1,000,000km. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here