Motosikal berusia 110 tahun ini dijual pada harga cecah RM6 juta!

56

Sekali imbas, anda mungkin akan menyangka ini sebuah motosikal kustom yang dihasilkan khas untuk menyertai mana-mana pertandingan yang dianjurkan.

Sangkaan anda salah, kerana ini sebenarnya sebuah motosikal klasik yang wujud pada awal 1900-an.

Honda

Jentera yang dikenali sebagai Cyclone V-Twin 1915 ini meraih perhatian kerana ia berjaya dijual pada tanda harga $1.32 juta (RM5.89 juta) pada acara bidaan Mecum, baru-baru ini.

Apa yang istimewanya motosikal klasik ini?

Pertama sekali, ia merupakan motosikal terawal dengan rekaan enjin V-twin overhead camshaft (OHC) bersesaran 996 cc menghasilkan 45 hp, tatkala motosikal pada zaman itu bergantung kepada enjin jenis pushrod.

Kedua, ia mampu mencapai kelajuan melebihi 160 km/j.

Ketiga, hanya 14 unit Cyclone sahaja yang wujud di atas muka bumi ini untuk tempoh produksi antara tahun 1913 hingga 1916, disebabkan syarikat Joerns Motor Manufacturing berdepan dengan masalah kewangan.

Keempat, unit berwarna kuning ini telah direstorasi semula oleh Stephen Wright, salah satu nama yang terkenal di dalam bidang restorasi semula motosikal di Amerika.

Hasil kerjanya sangat teliti, sehinggakan setiap nat dan bolt menggunakan spesifikasi asal yang ditetapkan oleh kilang.

Jentera Cyclone 1915 ini membawakan ciri unik seperti kerangka dan tangki bahan api berwarna kuning, fork hadapan jenis leaf spring diikuti dengan kerangka rigid pada bahagian belakang.

Enjin 996 cc itu tadi digandingkan sistem nyalaan magneto Bosch, karburetor Schebler, dan sistem ekzos kanister hitam 2-into-1 yang memberikan penampilan yang tersendiri.

Akhir sekali, ia turut mendapat kotak gear kelajuan tunggal, berserta dengan klac kaki yang merupakan ciri tipikal motosikal era tersebut.

Dengan hasil kerja yang sangat kemas dan sejarah yang dibawakan, tidak menghairankan apabila nilai motosikal ini mampu mencapai tahap tujuh angka. Bak kata pepatah, hanya jauhari yang mengenal manikam.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here