
Laman Iconic Auctioneers menyenaraikan sebuah replika jentera lumba Honda VFR750R RC30 tahun 1991 untuk dibida pihak yang berminat pada bulan Mei ini.
Jentera VFR750R ini dikuasakan oleh enjin bentangan V4 sejukan cecair yang mampu menghasilkan 112 hp pada putaran enjin 11,500 rpm dipadankan dengan kotak gear 6-kelajuan nisbah rapat.
Versi perlumbaan pula dikatakan mampu menjana kuasa setinggi 145 hp.
Edisi RC membawakan binaan yang lebih kompak, serta ruang yang lebih rapat antara cam bertujuan untuk mengurangkan kadar friction loss sebanyak 40 peratus berbanding VFR750F.
Sistem kemasukan udara juga telah diluruskan untuk aliran udara yang dipertingkatkan, sementara sistem perpaipan ekzos 4-1 pula dipadankan dengan unit peredam pada bahagian kiri.
Menurut laman Iconic Auctioneers, jentera Honda ini tidak digunakan selama dua tahun dan disimpan rapi di dalam ruang storan, dengan jarak perbatuan sudah mencecah 14,484 km.
Harga bidaan dianggarkan bermula £25,000 (RM141 ribu), di mana pemilik baharu akan mendapat pakej lengkap dengan topang paddock asal, buku manual, buku servis, dua unit kunci, kit peralatan, serta pelbagai jenis dokumen asal termasuklah artikel majalah dan surat khabar lama.