Suami isteri warga emas ditahan kes langgar pemandu ‘towing’

395

Pasangan suami isteri ditahan berhubung kes langgar dan cubaan bunuh seorang pemandu trak tunda atau ‘towing’ di Bandar Teknologi Kajang, Kajang.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, laporan kejadian diterima pihaknya pada jam 4.54 petang, Ahad daripada seorang wanita berusia 63 tahun.

Honda

Katanya, pengadu memaklumkan kira-kira jam 12 tengah hari, Jumaat lalu telah menerima panggilan daripada anak lelakinya berusia 42 tahun menyatakan telah dilanggar oleh sebuah kenderaan sehingga cedera dan tidak boleh bergerak.

“Ibu mangsa kemudian terus ke lokasi kejadian dan membawa mangsa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan mendapati terdapat satu video rakaman kamera papan pemuka kenderaan awam berjaya merakamkan kejadian tersebut.

Menurut Naazron, rakaman itu memaparkan sebuah kenderaan warna hitam dengan sengaja melanggar mangsa yang turun dari trak tunda dipandunya sebelum diseret ke atas pembahagi jalan.

“Pemandu kenderaan itu kemudian terus melarikan diri dan mangsa dilapor mengalami cedera luka selain retak di tangan dan kaki kanan,” ujarnya.

Tambahnya, pada jam 11.15 malam, Ahad, sepasang suami isteri warga tempatan berusia 73 dan 65 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan berkenaan kejadian tersebut.

Jelasnya, semakan mendapati kedua-dua suspek tiada rekod lampau.

“Suspek lelaki telah direman sehari, manakala permohonan reman isterinya ditolak. Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 279 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes Inspektor Mohd Hizwan Hamzah di talian 019-6369835 bagi membantu siasatan,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here