
Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menumpaskan kegiatan penyeludupan minyak diesel selepas menahan seorang lelaki yang sedang mengisi minyak dalam keadaan mencurigakan di sebuah stesen minyak dekat Pengkalan Kubor, Tumpat, Sabtu lalu.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata dalam kejadian pada 1 tengah hari itu, anggota Batalion 8 PGA yang menjalankan Op Taring Wawasan menahan suspek dan hasil pemeriksaan menemukan lebih 40 liter minyak diesel dalam pacuan empat roda yang dipandu lelaki itu.
Beliau berkata minyak berkenaan disyaki untuk diseludup ke Thailand melalui pangkalan haram di sempadan.
“Suspek seorang lelaki tempatan berumur 43 tahun ditahan manakala nilai rampasan dianggarkan bernilai RM35,127.50 termasuk nilai kenderaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Hasil rampasan dibawa ke Komtak Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya,” katanya.