
Untuk memastikan lebih ramai pengguna tertarik untuk menggunakan kenderaan elektrik, pengeluar perlu menawarkan sebuah produk yang lebih mampu milik.
Volkswagen ID.Every1 merupakan jawapan kepada masalah tersebut, sebuah hatchback berkuasa elektrik dengan harga jualan bawah €20,000 (RM95,838).
ID.Every1 masih lagi bersifat sebuah model konsep, namun ia bakal muncul dalam versi produksi pada tahun 2027.
Ia membawakan ukuran sepanjang 3,880 mm, lebih besar berbanding hatchback Up! dan Polo.
Namun begitu, VW menjanjikan keluasan ruang kabin yang hampir sama dengan Polo, serta ruang kargo sebesar 305 liter.
Dibina menggunakan platform MEB, ID.Every1 dikuasakan oleh motor elektrik tunggal berkuasa 94 hp, kelajuan maksimum 130 km/j dan jarak gerak sejauh 250 km untuk sekali cas penuh.
Nampak kecil, namun sesuai dengan sifatnya sebagai sebuah kereta bandar.
Dari segi rekaan, ID.Every1 membawakan beberapa elemen yang merujuk kepada model terawal Golf, muka depan seakan EV Ford Capri, lampu LED serta rim 19 inci.
Tidak mahu disamakan dengan peranti pintar, ID.Every1 kini mengembalikan semula peranan butang fungsi pada ruang kabin, terutama pada bahagian roda stereng dan panel kawalan bawah skrin tengah.
Untuk pemandu pula disediakan tuil PRND yang terletak pada kolum stereng, serta skrin paparan kecil untuk informasi penting.
Aspek praktikaliti turut menjadi keutamaan, di mana terdapat kemudahan disediakan seperti rel utiliti pada papan pemuka, serta ruang penyimpanan barang pada konsol tengah.