
Harley-Davidson CVO Road Glide RR (2025). Ini merupakan motosikal Harley-Davidson yang paling mahal, dan paling berkuasa setakat ini pernah dihasilkan.
Tidak tertumpu kepada aspek penggayaan seperti mana motosikal Harley yang lain, CVO Road Glide RR lebih diinspirasikan daripada fenomena perlumbaan Bagger yang sangat popular di sana.
CVO Road Glide RR dijana dengan enjin Screamin’ V-Twin Eagle 131 – nadi sama yang digunakan untuk jentera lumba Road Glide – menghasilkan kuasa 153 hp @ 5,750 rpm dan daya kilas 203.3 Nm @ 4,750 rpm.
Enjin itu juga menampilkan komponen perlumbaan Screamin’ Eagle Stage IV termasuklah galas aci sesondol dalaman, spring injap berprestasi tinggi, pam bahan api volum tinggi, serta profil aci sesondol yang disemak semula.
Segala kuasa disalurkan kepada roda menerusi transmisi Screamin’ Eagle Racing King 6 yang telah ditala semula untuk penukaran gear yang lebih lancar.
Untuk memastikan prestasi maksimum, Harley-Davidson melengkapkan jentera ini dengan sistem ekzos titanium Akrapovic yang lebih ringan 4.5 kg berbanding tetapan Milwaukee-Eight biasa.
Aspek tunggangan dibantu dengan sistem suspensi Ohlins spesifikasi perlumbaan, sistem brek Brembo, serta lengan ayum aluminium yang lebih lebih ringan berbanding model Road Glide ST.
Segala maklumat penting boleh diakses menerusi skrin sentuh sebesar 12.3 inci yang dikuasakan oleh Skyline OS, lengkap dengan Apple CarPlay dan digandingkan dengan sistem audio Rockford Fosgate Stage III.
Harga jualan untuk satu unit Harley-Davidson CVO Road Glide RR bermula dari $110,000 (RM486,200), di mana hanya ada 131 unit sahaja yang diproduksikan.