
Pasukan polis Eropah tidak mempunyai barisan kereta peronda yang mahal-mahal, sebaliknya mereka bergantung kepada model yang lebih kompak dan sesuai dengan keadaan jalan di sana.
Namun, kompak bukanlah bermaksud tidak berkuasa, kerana polis UK baharu sahaja menerima unit Skoda Octavia RS untuk dijadikan sebagai kereta peronda.
Proses ubahsuai kereta peronda ini tidak dikendalikan oleh Skoda itu sendiri, akan tetapi ia dijalankan oleh rakan perniagaan yang telah diiktiraf oleh Skoda untuk memastikan setiap kenderaan khas ini memenuhi keperluan pihak berkuasa.
Sedan dan wagon Octavia RS ini menggunakan asas daripada model facelift generasi keempat, dan dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo yang mampu menghasilkan 261 hp dan 370 Nm.
Dengan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan, pecutan 0-100 km/j boleh diselesaikan dalam tempoh masa 6.4 saat sahaja untuk versi sedan.
Ini bukanlah kali pertama model Skoda RS diubah menjadi kereta peronda di UK.
Pada tahun 2019, sebuah Skoda Kodiaq RS telah dihiasi dengan liveri polis, lengkap dengan bar lampu kecemasan sebelum diubah menjadi sebahagian daripada perkhidmatan ambulans pada waktu malam.