
Satu demi satu nama ikonik jenama Ford hilang ditelan zaman.
Sebelum ini Ford mengakhiri produksi Fiesta pada Julai 2023, dan ia kini disusuli dengan sebuah lagi plet nama ikonik Focus.
Dalam satu e-mel yang dihantar kepada laman Motor1, Ford mengesahkan produksi model Focus akan berakhir pada November ini, dan tiada perancangan untuk menghasilkan model pengganti.
Ford Focus diperkenalkan pada tahun 1998 bagi menggantikan tempat Ford Escort, dan sejak daripada itu sudah empat generasi Focus telah dihasilkan dalam bentuk hatchback, sedan, dan juga wagon.
Dalam satu temubual pada tahun lepas, CEO Ford Jim Farley menjelaskan pihaknya mahu keluar dari perniagaan ‘kereta yang membosankan’ dan mahu menumpukan perhatian pada kenderaan ikonik.
Beliau juga mengakui model-model seperti Fiesta dan Mondeo lebih digemari pelanggannya, namun hakikatnya Ford tidak mampu membuat duit lebih untuk pelaburan seterusnya.
Beliau percaya menumpukan perhatian pada model ikonik seperti Bronco, Mustang, Tremor dan Raptor adalah jauh lebih menguntungkan.
Sepanjang tahun 2024, Ford Eropah mencatatkan jualan sebanyak 425,307 unit atau turun 17 peratus berbanding tahun terdahulu.
Malah, pegangan pasaran syarikat itu menurun kepada 3.3 peratus daripada 4 peratus, sekaligus meletakkan Ford di belakang Kia dan Hyundai.