
Empat anggota polis mengalami kecederaan selepas kenderaan mereka naiki terbalik di KM257 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke utara dekat Kuala Kangsar petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Heisham Harun berkata kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang itu melibatkan anggota polis kontinjen negeri Kedah.
“Kesemua mangsa ingin pulang ke kontinjen Kedah, bagaimanapun keadaan cuaca ketika kemalangan adalah hujan dan jalan licin menyebabkan mereka hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata tiada kemalangan jiwa dan hanya seorang mangsa dimasukkan ke wad, manakala tiga lagi hanya mengalami kecederaan ringan.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya ada menerima panggilan berkaitan kemalangan itu, namun pihak PLUS memaklumkan kes telah selesai.
“Mula-mula memang ada panggilan masuk tentang kemalangan itu, pihak kami baru nak dispatch jentera keluar tetapi dapat panggilan semula dari pihak PLUS pada 4.13 petang, kes telah selesai dan tidak memerlukan kehadiran pihak bomba,” katanya.