
Skuter agresif yang anda lihat ini merupakan model terbaharu yang dihasilkan oleh syarikat pengeluar EV India, Ultraviolette.
Dinamakan sebagai Tesseract, skuter elektrik ini membawakan tanda harga bermula dari INR120,000 (RM6,090) untuk 10,000 orang pelanggan pertama.
Harga jualan sebenar pula bermula dari INR145,000 (RM7,359).
Ultraviolette Tesseract dikuasakan oleh motor elektrik tunggal 20.1 hp dengan tiga pilihan kapasiti pek bateri, iaitu 3.5 kWh, 5 kWh dan 6 kWh.
Dari segi jarak tunggangan, ia boleh mencapai jarak sejauh 162 km, atau sehingga 261 km untuk versi yang lebih besar kapasiti baterinya.
Pecutan 0-60 km/j adalah sepantas 2.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 125 km/j.
Tesseract menyokong pengecasan dari sifar hingga 80 peratus dalam tempoh kurang satu jam sahaja.
Antara ciri unik yang wujud pada skuter elektrik ini termasuklah rekaan yang agresif, unit lampu LED depan belakang, rim 14 inci, reka bentuk pelana yang bersegi, serta skrin paparan TFT sebesar tujuh inci.
Ia juga hadir dengan unit perakam tunggangan (dashcam) depan belakang, pengecasan tanpa wayar, sistem ABS dua saluran, kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, sistem navigasi dan kawalan kestabilan dinamik.
Tesseract juga merupakan yang pertama di dalam segmennya yang hadir dengan sistem radar terintegrasi untuk fungsi amaran titik buta, bantuan penukaran lorong, bantuan memotong dan amaran pelanggaran masa nyata.
Akhir sekali, terdapat ruang storan bawah pelana sebesar 34 liter yang mampu memuatkan helmet jenis full-face.