
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyelamatkan kapal layar, Meridian of Sydney yang mengalami masalah kerosakan jentera utama di perairan barat laut Pulau Perak pada jam 1.15 tengahari, pada Rabu.
Cawangan Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat dalam kenyataan berkata, kapal tersebut dipercayai hanyut selama empat hari.
“Pusat Operasi Markas Wilayah Laut 3 (PUSOP MAWILLA 3) menerima maklumat pada jam 11.30 pagi daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengenai kegagalan komunikasi dengan kapal layar tersebut ketika dalam pelayaran dari Krabi ke Langkawi.
“KD Mahamiru tiba di lokasi pada jam 13.15 tengah hari dan mendapati kapal layar berkenaan mengalami kerosakan pada jentera utama dan layar, menyebabkan ia tidak dapat meneruskan pelayaran,” katanya.
Menurut kenyataan tersebut Kapten Kelvin Holly yang merupakan warganegara Australia berada di laut sejak 8 Mac yang lalu.
Pihak TLDM memberikan bantuan awal makanan dan minuman sebelum menunda kapal layar tersebut ke perairan Langkawi dan akan diserahkan kepada APMM untuk urusan selanjutnya.