
Menurut Aplikasi Auto Xiaomi, tempoh menunggu penghantaran sedan elektrik SU7 Pro antara 43 hingga 46 minggu selepas tempahan.
Ini bermakna SU7 Pro sudah habis dijual untuk tahun 2025. Sebelum ini, pegawai syarikat kereta elektrik (EV) itu mendedahkan terdapat sekitar 150,000 kenderaan masih belum dihantar kepada pelanggan.
Xiaomi Auto memperkenalkan produk pertamanya, SU7 pada Mac 2024 di China. Selepas pelancaran, Xiaomi Auto berdepan masalah kapasiti pengeluaran yang menyebabkan tempoh menunggu melebihi 25 minggu.
Pada pertengahan 2024, Xiaomi meningkatkan jumlah pengeluaran SU7 bagi memendekkan masa penghantaran. Bagaimanapun, pelancaran Xiaomi SU7 Ultra menjejaskan jadual penghantaran syarikat.
REKOD PENGHANTARAN XIAOMI SU7
Tempoh menunggu bagi versi standard SU7 adalah 36 hingga 39 minggu (9-10 bulan), manakala varian tertinggi SU7 Max pula adalah 30 hingga 33 minggu (7.5-8 bulan).
Sementara, model yang baru dilancarkan Xiaomi SU7 Ultra pula merekodkan masa menunggu selama 13 hingga 16 minggu (3-4 bulan).
Bagaimanapun, pelanggan yang membeli sedan elektrik Xiaomi SU7 Pro perlu menunggu lebih lama iaitu 43 hingga 46 minggu (11-11.5 bulan).
Ini bermakna pembeli akan menerima kenderaan mereka selepas hampir setahun yang mana penghantaran dijadualkan pada Januari 2026. Masa menunggu yang lama ini menjadi tajuk utama berita di China.
Pengurus besar perhubungan awam Kumpulan Xiaomi, Wang Hua menjelaskan syarikat akan mencuba yang terbaik untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi mencapai sasaran penghantaran 300,000 kenderaan.
Tahun lepas, Xiaomi menghantar 139,487 unit kereta. Jadi tahun ini, pembuat kereta itu menyasarkan peningkatan kapasiti pengeluaran.