
Cubaan seorang lelaki menyeludup masuk Yamaha RX-Z menggunakan MPV dari Thailand ke negara ini berjaya dikesan oleh Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu di Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang, pada Rabu.
Pemandu berusia 31 tahun itu dicekup pada jam 1 tengah hari ketika dikesan memandu dalam keadaan mencurigakan semasa Op Taring Wawasan.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan telah menemukan sebuah Yamaha RX-Z dianggarkan bernilai hampir RM10,000 yang diletakkan di bahagian but kereta.
“Semasa ditahan pemandu itu tidak dapat menunjukkan sebarang dokumen pemilikan yang sah dan tidak melalui JKDM (Jabatan Kastam Diraja Malaysia).
“Kes disiasat bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 dan kesemua barangan rampasan serta suspek dibawa ke Komtak (Kompeni Taktikal) Taman Bakti untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada Khamis.
Menurut beliau, PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara.