Perak tidak dimaklumkan penggantungan penerbangan Ipoh-Singapura

42

Kerajaan Perak meminta Syarikat Penerbangan AirAsia mempertimbangkan semula keputusan menghentikan penerbangan laluan Ipoh-Singapura yang berkuatkuasa 25 April ini.

Exco Pelancongan, Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, penggantungan tersebut diharap hanyalah pendekatan sementara bagi penyusunan semula strategi syarikat untuk destinasi baharu.

Honda

Menurutnya, pemberhentian penerbangan laluan itu dikhuatiri akan memberi impak negatif kepada sektor pelancongan, pelaburan serta industri di negeri ini.

“Kerajaan negeri sentiasa menyokong dan memberi kerjasama untuk melancarkan serta memudahkan pengurusan operasi penerbangan domestik dan antarabangsa.

“Kerja-kerja menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) yang sedang dilaksanakan merupakan inisiatif kerajaan bagi mengoptimumkan fasiliti dan perkhidmatan penerbangan,” katanya.

Terdahulu, AirAsia mengumumkan akan menggantung operasi 17 perkhidmatan mereka termasuk laluan Ipoh-Singapura di LTSAS yang beroperasi sejak Disember 2018 bagi menyemak serta menyelaraskan operasi syarikat.

Sze Yee berkata, kerajaan negeri tidak pernah terlibat secara langsung atau dimaklumkan mengenai keputusan tersebut sebelum pengumuman dibuat oleh AirAsia.

Katanya, berdasarkan data yang diperoleh, laluan berkenaan sebelum ini mendapat sambutan yang baik daripada pengguna.

“Pemberhentian ini merupakan satu perkara yang bertentangan dengan usaha kerajaan merancakkan pengangkutan udara di Ipoh dan Perak.

“Harap AirAsia dapat mempertimbangkan penyambungan semula operasi penerbangan laluan ini,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here