
Gara-gara bergurau di tempat yang tidak sesuai, seorang warga emas dikenakan denda RM100 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menggugat ketenteraman awam dalam kejadian pada Selasa lalu.
Tertuduh, Ng Kok Yeow, 64, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting di Mahkamah Majistret Balik Pulau pada Jumaat.
Mengikut pertuduhan, peniaga itu didakwa dengan sengaja memaklumkan kepada seorang petugas Malaysia Airlines bahawa terdapat bom dalam beg rakannya, sedangkan tertuduh mengetahui bahawa kata-kata tersebut mungkin boleh menggugat ketenteraman awam.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kaunter daftar masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada jam 10.30 malam, 11 Mac lalu.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100.
Pertuduhan dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hazarul Iqram Rozahan.
Mengikut fakta kes, ketika kejadian, tertuduh bersama seorang rakan lelaki warga China tiba di kaunter daftar masuk LTAPP untuk diperiksa sebelum berlepas ke Guangzhou, China.
Namun, ketika petugas Malaysia Airlines bertanya kepada rakan tertuduh mengenai kandungan bagasinya, tertuduh terus menjawab, “Tiada apa, ada bom saja.”
Bimbang dengan kenyataan tersebut, petugas tersebut membuat aduan kepada polis bantuan LTAPP. Tertuduh kemudian ditahan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Dalam prosiding kes, Lushani memohon denda maksimum terhadap tertuduh kerana tindakan tersebut menyentuh isu sensitif yang tidak boleh dijadikan gurauan.
Sementara itu, dalam rayuannya, Hazarul Iqram memohon denda minimum dengan alasan anak guamnya seorang duda yang perlu menyara dua anak dengan pendapatan RM1,000 sebulan.
Majistret Huey Ting kemudiannya menetapkan denda RM100 terhadap tertuduh, dan sekiranya gagal membayar, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tiga hari.
ARTIKEL LAIN