
Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu ditemui maut dalam sebuah longkang di Jalan Kampar-Tapah berhadapan sebuah tapak perkuburan di Kampar pada awal pagi Ahad.
Mangsa dikenali sebagai Izrul Husin, 42, yang hilang sejak Khamis, ditemui dalam keadaan tersangkut dalam longkang tersebut bersama sebuah motosikal jenis SYM.
Kehilangan mangsa disedari rakannya yang sedang melakukan pencarian selepas dia tidak pulang ke rumah.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 1.25 pagi bagi membantu mengeluarkan mangsa.
Menurutnya, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampar bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
“Mangsa ditemui di dalam longkang sedalam 1.2 meter bersama sebuah motosikal dipercayai miliknya.
“Tindakan operasi dilakukan dengan melaksanakan kerja-kerja penyelamatan dan mengangkat mangsa menggunakan pengusung,” katanya.
Tambah beliau, mangsa ditemui masih dalam keadaan sempurna tetapi kecederaan yang dialami tidak dapat dipastikan kerana mangsa dilaporkan hilang sejak Khamis.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 1.52 pagi,” ujarnya.