
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sudah banyak pengeluar motosikal yang mula menawarkan sistem ADAS berasaskan radar.
Honda juga tidak mahu ketinggalan, namun mereka tidak menggunakan sistem radar seperti mana kebanyakan pengeluar.
Sebaliknya, Honda membangunkan sistem ADAS berasaskan kamera – pendekatan sama yang digunakan oleh Tesla untuk sistem Full Self-Driving dan Subaru menerusi sistem EyeSight.
Unit prototaip Africa Twin yang dilengkapi dengan sistem ADAS berasaskan kamera ini telah pun diperlihatkan di reruai Honda dan pembekal automotif Hitachi Astemo di acara EICMA tahun lalu.
Sistem ADAS Honda menggunakan dua unit kamera yang mampu menawarkan pemandangan stereoskopik supaya ia dapat beroperasi dengan lebih berkesan, sama seperti mata manusia untuk menentukan jarak.
Selain itu, sistem kamera ini lebih sesuai digunakan untuk mengesan aspek warna dan cahaya – sesuatu yang sukar dicapai oleh sistem radar.
Honda mungkin agak lewat menyertai permainan ADAS, namun pengeluar itu sudah pun muncul dengan sistem pemanduan autonomi Tahap 3 menerusi sedan Legend yang dihasilkan untuk pasaran Jepun.