Terminal Bersepadu Gombak sudah mula terima penumpang Pantai Timur

11
sumber: Bernama

Laman berita Bernama melaporkan Terminal Bersepadu Gombak (TBG) sudah mula menerima penumpang dari Pantai Timur.

Difahamkan, TBG hanya akan mula beroperasi secara rasmi pada 22 Mac nanti, namun berdasarkan tinjauan Bernama terdapat beberapa buah bas kelihatan menurunkan penumpang sebelum meneruskan perjalanan ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

Honda
Honda

Pengasas Syarikat & Ketua Pegawai Eksekutif Terminal Bersepadu Gombak Sdn Bhd (TEGAS) Datuk Seri Mohd Nadzlim Mohd Noor berkata untuk operasi hari ini (15 Mac), hanya 18 bas dijangka singgah di terminal berkenaan.

“Hari ini tidak banyak bas yang masuk kerana kita masih dalam tempoh percubaan pengoperasian. Esok (16 Mac) bas pertama dari Kelantan dijadual tiba 5.30 pagi.

“Kita telah maklumkan kepada pengendali premis untuk buka kedai makanan dan minuman bagi memudahkan penumpang bersahur,” katanya kepada media selepas melakukan tinjauan di terminal itu di sini.

Beliau berkata walaupun hanya akan beroperasi secara rasmi pada 22 Mac depan namun untuk perayaan Aidilfitri, orang ramai sudah boleh membeli tiket ke semua laluan.

TBG berperanan sebagai hab pengangkutan utama untuk perjalanan ke Pantai Timur membabitkan Pahang, Terengganu dan Kelantan serta destinasi lain, termasuk negeri di utara.

Selain bas ekspres, TBG juga menghubungkan bas antara bandar dan diintegrasikan dengan stesen LRT Gombak serta stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Gombak yang pembinaannya sudah mencapai 79 peratus.

TBG turut menyediakan 1,200 tempat letak kereta selain 3,000 peluang pekerjaan yang bakal menjadi tulang belakang kepada pengoperasian terminal itu kelak.

Pembukaan TBG disambut dengan baik oleh orang ramai memandangkan lokasinya yang lebih dekat dengan tempat kerja, belajar dan juga kediaman.

Seorang pekerja swasta dari Kuantan, Pahang, R. Deepan, 39 berkata,
“Kebiasaannya saya turun dekat TBS, bila ada TBG, senang untuk saya memandangkan tempat kerja saya di sekitar sini malah pembelian tiket juga mudah kerana boleh beli secara dalam talian,” katanya kepada Bernama.

Muhamad Amirul Malik, 21 yang merupakan pelajar universiti di Bangsar berkata,“Selama ini jika mahu pulang ke universiti, saya turun di TBS dan perlu menaiki bas atau perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT). Ia juga mengambil masa agak lama untuk ke ibu kota,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here