
Rancangan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi RON 95 pertengahan tahun ini dijangka tidak menjejaskan secara ketara prestasi jualan kenderaan dalam pasaran tempatan, kata penganalisis.
Perangkaan daripada pelarasan subsidi pada 2008, 2014 dan 2016 sebelum ini menunjukkan tiada penurunan ketara dalam jumlah keseluruhan industri (TIV), sekali gus membuktikan daya tahan pasaran di tengah peningkatan kos bahan api.
Malah, rasionalisasi subsidi dijangka memacu perubahan struktur dalam pilihan pengguna, memanfaatkan segmen kenderaan elektrik (EV) dan enjin pembakaran dalaman (ICE) cekap bahan api.
PENDAPATAN T15 PERCEPAT PERALIHAN KE EV
Menurut BIMB Securities Research, isi rumah berpendapatan tinggi T15 mungkin mempercepatkan peralihan daripada kenderaan ICE kepada EV, disokong oleh kos operasi jangka panjang lebih rendah, insentif kerajaan dan tumpuan yang semakin meningkat pada kelestarian.
Sementara itu, katanya pengguna M40 dan berpendapatan rendah pula mungkin beralih ke model jimat bahan api untuk mengurangkan kos yang semakin meningkat, mengutamakan pilihan mampu milik dan menjimatkan seperti Perodua Axia dan Bezza.
“Walaupun harga bahan api lebih tinggi, permintaan yang stabil untuk kenderaan ICE yang ekonomik dan penggunaan EV semakin meningkat seharusnya membantu mengekalkan pertumbuhan TIV secara keseluruhan,” katanya.
Menurut BIMB Securities Research, pasca pembaharuan subsidi pada Jun 2008, Disember 2014 dan 2015 hingga 2016, memperlihatkan kestabilan TIV di negara ini menjadikan jangkaan penurunan secara mendadak meleset sama sekali.
Katanya, pada 5 Jun 2008, kerajaan melaksanakan kenaikan harga bahan api yang ketara, menaikkan RON97 kepada RM2.70 satu liter daripada RM1.92, RON92 kepada RM2.62 seliter daripada RM1.88 dan diesel kepada RM2.58 seliter daripada RM1.58.
“Peralihan dasar ini, di samping krisis subprima Amerika Syarikat (AS), melembapkan sentimen pengguna, menyumbang kepada penurunan dua peratus TIV kepada 536,905 unit pada 2009, berbanding 548,115 unit pada 2008.
“Namun, permintaan untuk model mampu milik dan jimat bahan api kekal berdaya tahan, dengan jualan lebih tinggi dicatatkan bagi Perodua Myvi, Proton Saga dan Perodua Viva,” katanya.
BERALIH KEPADA KERETA LEBIH JIMAT MINYAK
BIMB Securities Research menjelaskan, perubahan dasar daripada pengenalan RON95 pada 2009 kepada sistem apungan terurus pada 2014 memberi kesan beransur-ansur kepada industri automotif Malaysia.
Ia berkata, pengguna mula memilih kenderaan yang lebih jimat bahan api dan mampu milik, tetapi tanpa gangguan besar kepada jumlah jualan keseluruhan.
Katanya, RON95 menjadikan pemilikan kereta lebih mudah diakses, manakala sistem apungan terurus menggalakkan kecekapan bahan api tanpa menjejaskan kestabilan pasaran.
“Adaptasi pengguna, inovasi industri, harga bahan api lebih stabil dan ekonomi kukuh membantu mengekalkan jualan kenderaan yang stabil,” katanya.
Ia berkata, sistem apungan terurus 2014 menyelaraskan harga bahan api domestik dengan trend minyak mentah global sambil membenarkan campur tangan kerajaan apabila perlu.
“Keutamaan untuk kenderaan jimat bahan api dalam tempoh itu diterajui Perodua Axia, diikuti Myvi, Toyota Vios, Honda City dan Nissan Almera.
“Perodua Axia dan Myvi memenuhi keperluan pembeli yang mementingkan bajet dengan Axia diletakkan sebagai hatchback segmen A peringkat permulaan, manakala Myvi berada lebih tinggi sedikit dalam kategori hatchback segmen B.
“Sementara itu, Honda City, Toyota Vios dan Nissan Almera bersaing dalam kategori sedan segmen B, menarik kepada pengguna yang mencari sedan mampu milik tetapi praktikal dengan keseimbangan kecekapan dan prestasi,” katanya.