
Pengedar rasmi jenama Vespa di Malaysia, Didi Group memperkenalkan Vespa GTS 300 Classic pada harga RM29,900 unit buat 50 pelanggan pertama.
Kemudian, ia akan dijual pada harga cadangan RM31,900 dan GTS 300 Classic akan mula berada di semua pusat jualan sah Vespa hujung bulan ini.
Menggunakan enjin 278cc SOHC silinder tunggal, penyejukkan cecair bersama sistem pancitan bahan api, GTS 300 menghasilkan kuasa 23.8hp @ 8,250 rpm dan tork 26Nm @ 5,250 rpm.
Penghantaran kuasa ke roda belakang disalurkan menerusi kotak gear CVT.
Berikut informasi ringkas tentang Vespa GTS 300 Classic :
- Seperti mana jentera Vespa yang lain, ahli keluarga GTS ini turut menggunakan badan jenis keluli dengan bahan mampan, ia 100 peratus boleh dikitar semula yang menjamin kekuatan dan keselamatan.
- Kemudian, ia disokong dengan suspensi penyerap hentak tunggal dan koil spring di depan dan penyerap hentak hidraulik berganda bersama pra beban boleh laras 4-tahap di belakang.
- Keupayaan membrek depan dan belakang diserahkan kepada brek cakera keluli tahan karat 220mm bersama kawalan hidraulik dan Sistem Brek Anti Kunci (ABS).
- Rekaan pelana baharu dengan tingkat keselesaan tertinggi bukan hanya bagi penunggang bahkan buat penumpang juga. Ciri ergonomik yang dioptimumkan memudahkan pijakan kaki di atas tanah ketika berhenti.
- Sistem tanpa kunci bukan sekadar untuk menghidupkan enjin bahkan boleh digunakan untuk membuka ruang simpanan bawah pelana dan mengunci hendal.
- Ciri peralatan lain termasuklah bingkai lampu depan berwarna krom, pelindung silencer dan kemasan warna kelabu pada rim, material getah pada pemijak kaki dan pelana serta saiz tangki minyak 8.5 liter.
- Ditawarkan dengan tiga warna iaitu Beige Sabbia Q02, Black Vulcano ND dan Green Relax V11.