
BMW nampaknya perlu mengubah strategi produksi untuk model berprestasi tinggi M5 Touring berdasarkan permintaan yang agak memberangsangkan pada ketika ini.
Bercakap kepada BMW Blog, naib presiden bahagian Customer, Brand and Sales BMW Sylvia Neubauer berkata, pihaknya pada asal membahagian produksi sebanyak dua pertiga untuk model sedan M5 dan selebihnya untuk wagon M5.
Namun, disebabkan permintaan yang tinggi untuk model M5 Touring, BMW terpaksa mengubah strategi tersebut.
“Kami kini melihat lebih banyak permintaan untuk sedan, jadi kami perlu tingkatkan angka pengeluaran. Namun terdapat permintaan yang lebih tinggi untuk model Touring,” ujarnya.
Berbanding perancangan asal, BMW kini membahagian produksi sedan dan wagon M5 kepada 50:50.
Dari segi kuasa, M5 Touring mendapat enjin V8 hibrid yang mampu menjana kuasa 717 hp dan 1,000 Nm.
Walaupun model M5 Touring kini seberat 2.5 tan, ia tetap berupaya memecut sepantas 3.5 saat dari 0-96 km/j, dan boleh bergerak sejauh 40 km tanpa setitik minyak.