
Dalam usaha untuk mengecilkan penawaran sedia ada, Mercedes-Benz membuat keputusan untuk tidak lagi menawarkan sedan dan hatchback A-Class generasi baharu.
Bercakap kepada majalah automotif Itali Quattroruote, Ketua Pegawai Teknologi Mercedes Markus Schäfer mengesahkan langkah penstrukturan semula penawaran model kompak daripada tujuh kepada empat buah model sahaja.
Selain sedan dan hatchback A-Class, Mercedes juga akan menamatkan model minivan B-Class.
Ini bermakna, CLA generasi baharu yang dilancarkan beberapa minggu lepas akan menjadi model sedan mewah aras mula jenama itu, selain model CLA Shooting Brake, GLA dan juga GLB.
Menurut Schäfer lagi, model baharu G-Class yang lebih kecil (dikenali sebagai g-Class) akan turut hadir, namun ia tidaklah berkait secara mekanikal dengan empat model yang disebutkan tadi.
Sebaliknya, ia dibangun menggunakan senibina kenderaan off-road yang lebih sesuai dengan nama “G” yang bakal dibawakan kelak.
Selari dengan strategi semasa, Mercedes turut mengumumkan penamatan nama keluarga kenderaan elektrik “EQ”, bermakna generasi baharu EV EQA dan EQB akan diintegrasikan secara terus kepada keluarga GLA dan GLB.