
CFMOTO memperkenalkan model terbaharu dalam segmen adventure touring menerusi 700MT untuk pasaran Malaysia.
Ia ditawarkan harga RM33,888 tidak termasuk cukai jalan dan insuran dengan dua pilihan warna membabitkan:
- Nebula Black
- Nebula White
CFMOTO 700MT dikuasakan enjin 2-silinder, 4-lejang, DOHC, sistem penyejukan cecair bersesaran 693cc, kuasa maksimum 67hp pada 9,500rpm dan tork maksimum 60Nm pada 6,000rpm.
Dengan nisbah mampatan 11.6:1, model ini direka untuk menawarkan keseimbangan optimum antara prestasi dan kecekapan bahan api, menjadikannya pilihan terbaik bagi penjelajahan jarak jauh dengan tangki sebesar 20 liter.
Ia menggunakan kotak gear enam kelajuan dengan fungsi klac slipper, memastikan pertukaran gear yang lebih lancar dan kawalan lebih baik.
Uniknya, jentera itu turut dilengkapi fungsi Upshift Alert untuk memberikan amaran kepada penunggang apabila perlu menukar gear ke atas (upshift).
Ia membantu mengoptimumkan prestasi enjin dengan memastikan penukaran gear berlaku pada keadaan yang sesuai bermula dari tetapan 2,000rpm sehingga 11,900rpm.
Bagi mengekalkan kestabilan optimum di pelbagai permukaan jalan, CFMOTO 700MT dilengkapi dengan suspensi hadapan upside-down dan penyerap hentak belakang monoshock boleh laras.
Kuasa membreknya pula diberi tugas kepada dua brek cakera berkembar pada bahagian hadapan dengan lapan port piston caliper, manakala satu port piston caliper dengan cakera tunggal di bahagian belakang.
Motosikal itu juga dilengkapi dengan dua ruang simpanan sisi (side boxes) serta ruang simpanan atas (top box) masing-masing dengan kapasiti 35L dan 45L.
Tempat duduk pada ketinggian 800mm serta jarak dari tanah 190mm menjadikannya sesuai untuk pelbagai jenis penunggang.
CFMOTO 700MT turut dilengkapi ciri lain membabitkan:
- Fungsi Pemanas Grip
- Pemanas Tempat Duduk yang boleh dilaras mengikut beberapa tahap
- ABS dua saluran untuk memastikan kuasa pemberhentian yang lebih responsif
- Sistem Kawalan Cengkaman (TCS)
- Paparan meter TFT 5 inci
- Port pengecasan USB Type-A dan Type-C
- Sistem Pemantauan Tekanan Tayar
- Emergency Stop Signal
Dari segi ketahanan, model itu dibina dengan swingarm aloi aluminium dua sisi. Ia menggunakan tayar CST jenis spoke tubeless bersaiz 110/80 R19 di hadapan dan 150/70 R17 di belakang.
Pemilik motosikal yang memiliki peranti T-Box juga dapat menggunakan pelbagai aplikasi pintar yang menarik untuk diteroka iaitu CFMOTO Ride App dengan fungsi tambahan seperti My Ride, lokasi sebenar, sistem peringatan dan sebagainya.
Dengan setiap pembelian CFMOTO 700MT, pembeli boleh menikmati jaminan waranti perbatuan tanpa had untuk tempoh dua tahun serta perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh CFMOTO Malaysia.
@motoqar Mforce melancarkan CFMoto 700 MT untuk pasaran Malaysia. Padu betul harga, RM33,888 dengan padat ciri teknologi terkini. #CapCut ♬ original sound – Motoqar Malaysia