
Benda Malaysia melancarkan motosikal cruiser kelas pertengahan yang menggabungkan kuasa, gaya dan teknologi terkini menerusi model Chinchilla 500.
Motosikal untuk tunggangan santai tetapi tetap berkuasa itu, dilengkapi enjin V2 silinder, 4-lejang, 8-injap, DOHC dan 475.6cc.
Ia memberikan pengalaman tunggangan yang autentik dengan menyalurkan kuasa 47hp pada 9,000 rpm dan tork maksimum 42 Nm pada 7,200 rpm.
Rangkaian kuasanya dilengkapi sistem penyejukan cecair dan sistem suntikan bahan api elektronik (EFI). Ia memastikan prestasi yang lancar dan cekap, sesuai untuk perjalanan harian mahu pun perjalanan jauh.
Selari dengan konsep retro-moden, Benda Chinchilla 500 memiliki panel meter digital yang minimalis dengan pemaparan maklumat yang jelas.
Selain itu mempunyai dua jenis port pengecasan USB iaitu Type-A dan Type-C yang membolehkan penunggang mengecas peranti mereka ketika menunggang.
Dengan reka bentuk yang ergonomik, Benda Chinchilla 500 menawarkan dua tempat duduk yang selesa untuk penunggang dan pembonceng.
Malah turut menggabungkan reka bentuk retro-moden dengan lampu LED depan dan belakang yang bersifat estetika vintaj dan teknologi terkini.
Bagi meningkatkan kenikmatan tunggangan, sistem ekzos berkembar turut memberikan bunyi deruman enjin yang garau dan ‘bassy’, tetapi juga menambah elemen gaya pada motosikal ini.
Dengan tangki bahan api berkapasiti 16 liter, Benda Chinchilla 500 memberikan kepuasan dari segi jarak perjalanan yang lebih jauh tanpa perlu kerap berhenti untuk mengisi minyak.
Motosikal itu didatangkan sistem suspensi depan fork teleskopik jenis upside down dan suspensi belakang penyerap hentak berkembar, selain dilengkapi sistem keselamatan optimum iaitu fungsi ABS dwi-saluran dan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS).
Harganya bermula RM 27,888 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan) yang mana ia boleh didapati di pengedar sah MForce seluruh Malaysia.
Benda Chinchilla 500 hadir dengan tiga pilihan warna membabitkan:
- Hitam
- Biru
- Kelabu
Ia ditawarkan jaminan waranti perbatuan tanpa had untuk tempoh dua tahun serta perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh Mforce Bike Holdings Sdn Bhd.
@motoqar Benda Chinchilla 500: Cruiser retro moden, harga RM27,888. #CapCut #motoqar #benda #motosikal #fyp ♬ original sound – Motoqar Malaysia