
Kereta hiper seperti Bugatti Tourbillon bukan sekadar satu jentera berprestasi tinggi, tetapi juga sebuah karya yang direka mengikut kehendak dan cita rasa pemiliknya.
Pelanggan diberikan kebebasan untuk memilih spesifikasi yang mencerminkan gaya dan identiti mereka, menjadikan setiap unit yang dihasilkan benar-benar unik.
Untuk menampilkan lagi ciri perlumbaan pada Tourbillon, Bugatti memperkenalkan pakej Équipe Pur Sang dengan pakej aerodinamik dan rekaan lebih agresif.
Équipe Pur Sang – Legasi Perlumbaan Dihidupkan Semula
Équipe Pur Sang bermaksud Thoroughbred Team dan merujuk kepada bahagian perlumbaan Bugatti yang bertanggungjawab ke atas pelbagai kemenangan bersejarah.
Kini, nama tersebut diberikan kepada pakej khas yang mengubah Tourbillon menjadi sebuah jentera berinspirasikan sukan permotoran.
Rekaan Aerodinamik untuk Prestasi Maksimum
Pakej Équipe Pur Sang merangkumi pelbagai elemen yang direka untuk menonjolkan kehebatan pengendalian dan prestasi Tourbillon:
- Pemisah hadapan khas berfungsi selari dengan sayap belakang rekaan khusus yang dilengkapi plat hujung kecil bagi meningkatkan kecekapan aerodinamik.
- Penutup enjin gentian karbon.
- Sistem ekzos lapan paip yang direka khusus.
- Peresap belakang khas.
Pakej ini meningkatkan aerodinamik, menambah daya mendap dan memberikan Tourbillon kedudukan lebih agresif.
Roda Berarah (directional wheels) untuk Pengoptimuman Aliran Udara
Rekaan roda berarah baharu dibuat secara khusus untuk Tourbillon Équipe Pur Sang.
-
Saiz berbeza di hadapan (20 inci) dan belakang (21 inci) dengan reka bentuk khas untuk kiri dan kanan.
-
Jejari panjang dan nipis membantu mengurangkan pergolakan udara serta meningkatkan aliran udara ke radiator belakang sebanyak 8%, menjadikannya lebih cekap dalam sistem penyejukan.
Kabin Berinspirasikan Perlumbaan dengan Sentuhan Kemewahan
Pada bahagian dalam, tema Équipe Pur Sang diteruskan dengan beberapa elemen istimewa:
- Sulaman eksklusif pada papan pemuka dan perehat kepala kerusi dengan logo khas yang mencerminkan Tourbillon dengan warisan perlumbaan Bugatti.
- Kemasan dalaman Black Poli untuk sentuhan elegan dan sofistikated.
- Pakej Dalaman Gentian Karbon Medium yang menggabungkan kemewahan dan kefungsian.
- Kerusi khas (Performance Seat) sebagai ciri standard, direka untuk memberi sokongan lateral maksimum semasa mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.
- Balutan penuh Alcantara yang menggabungkan elemen dinamik dan keanggunan.
Proses Konfigurasi: Pengalaman Unik & Peribadi
Pelanggan boleh memulakan konfigurasi mereka sama ada di Château Saint Jean di Molsheim atau di lokasi rakan kongsi Bugatti di seluruh dunia.
Dengan bantuan pasukan pakar Bugatti, mereka boleh memilih dari pelbagai pilihan penyesuaian, termasuk:
- 23 warna luaran baharu
- 20 pilihan kulit baharu
- 10 pilihan Alcantara baharu
- 7 warna permaidani baharu
- Gugusan meter hadir dengan pelbagai pilihan dengan komponen yang dihasilkan oleh karyawan jam Switzerland mengikut piawaian ketat jam tangan mewah bertaraf dunia.
Nadi 8.3 liter V16 Tanpa Turbo
Tourbillon dikuasakan enjin 8.3 liter V16 tanpa turbo yang menghasilkan 1,000 kuasa kuda (hp).
Tiga motor elektrik menambah 800 hp lagi, menjadikan kuasa keseluruhan setinggi 1,800 hp.
Walaupun dilengkapi sistem hibrid canggih dan kuasa luar biasa, Tourbillion lebih ringan berbanding model sebelumnya.
Ini dicapai melalui casis canggih daripada komposit karbon T800 dan inovasi seperti struktur bateri bersepadu serta peresap belakang berasaskan teknologi perlumbaan.
Jentera ini turut menggunakan struktur bateri bersepadu dan peresap belakang yang dinsiprasi daripada teknologi perlumbaan.
Dengan tork segera daripada motor elektrik, Tourbillon memecut pantas dengan bunyi enjin aspirasi semula jadi yang menonjolkan keunikan prestasi tanpa turbo.
Terhad 250 Unit
Tourbillon melambangkan kemuncak lebih satu abad kejuruteraan Bugatti. Direka bukan hanya untuk masa kini atau masa depan, tetapi lebih daripada itu.
Pengeluaran dihadkan kepada 250 unit sahaja dan setiap unit Tourbillon bermula dari 3.8 juta EUR (RM18.8 juta).