
Selain daripada menghasilkan senjata api raifal yang digunakan secara meluas di seluruh dunia (termasuklah AK-47), Kalashnikov juga sebenarnya turut menceburkan diri dalam industri automotif.
Bersempena dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa, Kalashnikov mendedahkan sebuah motosikal bobber edisi khas IZh-49 yang diberikan kemasan warna merah jambu.
Motosikal ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 250 cc sejukan cecair yang mampu menghasilkan 31 hp dan boleh mencapai kelajuan tertinggi 155 km/j.
Dari segi penampilan, IZh-49 diberikan penggayaan stail bobber dengan tempat duduk terapung (tinggi 720 mm), kerangka tubular, tangki 14 liter, lampu retro serta meter ringkas berbentuk bulat.
Sistem gantungan terdiri daripada fork teleskopik di hadapan, diikuti lengan ayun dan penyerap hentak berkembar di belakang, sementara sistem brek pula menggunakan unit cakera bersaiz 320 mm di depan dan 220 mm di belakang.
Menurut Kalashnikov, jentera ini sangat mudah untuk dikawal oleh penunggang wanita dan boleh dilengkapi dengan pelbagai aksesori yang praktikal termasuklah beg pelana.
Terdapat juga IZh-49 versi elektrik sepenuh masa yang dikuasakan oleh motor elektrik 4kW (5.36 hp).