
Tindakan penunggang motosikal melawan arus selepas lari sekatan jalan raya membawa padah apabila dia cedera diseret sebuah pikap di Lebuhraya Kemuning – Shah Alam (LKSA) KM7.3 Persiaran Sultan, Seksyen 14, Shah Alam, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata siasatan mendapati pada 8 Mac lalu, polis mengadakan sekatan jalan raya di lokasi berkenaan dan tiba-tiba sebuah motosikal Modenas Kriss yang ditunggang remaja lelaki membuat pusingan U secara berbahaya bagi mengelak melalui sekatan jalan.
“Menurut anggota Unit Rondaan Bermotorsikal (URB) yang sedang membuat pemantauan, pihaknya cuba menahan motosikal tersebut yang melawan arus dengan memintanya untuk berhenti tetapi tidak diendahkan dengan menyeberangi jalan menaiki pembahagi jalan secara berbahaya.
“Penunggang motosikal itu kemudian dilanggar dan diseret pikap Toyota Hilux,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hasil siasatan mendapati penunggang motosikal tersebut patah paha kiri, patah bahu kiri serta bahu kanan dan masih ditahan di wad Hospital Shah Alam hingga kini.
“Penunggang motosikal berumur 17 tahun, seorang pelajar Tingkatan 5 dan tiada rekod jenayah.
“Siasatan awal mendapati penunggang motosikal melarikan diri kerana tiada lesen memandu dan cukai jalan motosikal tamat tempoh,” katanya.
Kejadian ini tular di media sosial yang memaparkan remaja berkenaan melarikan diri dari sekatan jalan raya.
Tular di media sosial seorang remaja lelaki lari dari sekatan jalan raya dan menunggang lawan arus sebelum dirempuh sebuah pikap baru-baru ini. – Video Tular pic.twitter.com/Dy7dZ1KIXR
— Berita Harian (@bharianmy) March 24, 2025