Remaja maut, tujuh cedera ketika berkonvoi

293

Sebanyak 10 motosikal dan sebuah treler terlibat nahas di KM221.5, Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) arah selatan awal pagi Sabtu lalu mengakibatkan seorang remaja maut manakala tujuh lagi cedera.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, maklumat nahas itu diterima polis jam 1 pagi Sabtu.

“Siasatan awal polis di lokasi nahas mendapati kejadian berpunca apabila motosikal  Yamaha Y15ZR yang ditunggang remaja lelaki berumur 18 tahun yang sedang berkonvoi dipercayai melanggar belakang treler yang bergerak perlahan di lorong kecemasan.

“Motosikal datang dari arah utara menghala selatan yang mana semasa sedang mara secara konvoi, motosikal ditunggang remaja berkenaan dipercayai melanggar bahagian belakang kanan treler yang bergerak perlahan di lorong kecemasan,” katanya.

Tambah beliau, akibat perlanggaran itu menyebabkan penunggang dan motosikal jatuh di laluan utama sebelum sembilan motosikal yang lain tidak sempat mengelak lalu merempuh penunggang yang jatuh tersebut. 

Dalam kejadian tersebut seorang penunggang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala tujuh penunggang lain mengalami kecederaan dan mendapat rawatan di  Hospital Seri Manjung. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. 

Ditanya sama ada kejadian itu melibatkan elemen perlumbaan haram, Hasbullah berkata ia belum dapat dipastikan kerana masih dalam siasatan.

“Polis menasihati orang ramai agar berhati-hati semasa memandu dan patuhi peraturan jalan raya yang sudah ditetapkan.

“Berhati-hatilah memandu kenderaan atau menunggang motosikal serta jangan terbabit dengan aktiviti tidak sihat atau menunggang secara bahaya,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Inspektor Mohd Fahrulrazhi Zakaria di talian 012-4433441.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa rakaman berkaitan nahas itu termasuk yang dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) yang diselenggara pihak Lebuhraya WCE.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here