
Lelaki warga emas parah selepas dirempuh sebuah kereta ketika berteduh daripada hujan di lorong kecemasan di bawah jejambat di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, selepas Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata video kejadian melibatkan penunggang motosikal berusia 76 tahun itu tular di media sosial pada 8.40 malam, semalam.
Katanya, pemandu kenderaan berusia 40 tahun juga sudah ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati sebuah motosikal berkenaan berhenti di lorong kecemasan di bawah jejambat untuk berteduh sebelum dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihak berkuasa meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan itu boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-2071 9999, Hotline JSPT Kuala Lumpur di 03-2026 0267/0269 atau mana-mana balai polis berhampiran.