
Yamaha Motor Sales Co., Ltd. akan melancarkan model 2025 bagi YZF-R3 ABS dan YZF-R25 ABS untuk pasaran Jepun pada 24 April 2025.
Model terbaru ini menampilkan rekaan badan baharu yang mengekalkan DNA siri YZF-R. dengan elemen yang lebih moden.
Klac A&S (Assist & Slipper) diperkenalkan bagi mengurangkan beban operasi tuil dan memastikan kawalan lebih lancar semasa menurunkan gear.

Penunggang boleh menghubungkan motosikal dengan aplikasi YAMAHA Motorcycle Connect (Y-Connect) untuk mengakses pelbagai fungsi.
Soket USB Type-A turut disertakan untuk pengecasan peranti.
Pelana dan panel sisi lebih langsing memberikan keselesaan tambahan, manakala warna baharu Crystal Graphite pada enjin menyerlahkan gaya mekanikal yang lebih premium.

Yamaha menawarkan tiga pilihan warna iaitu Deep Purplish Blue Metallic C, Matte Dark Gray Metallic 8 dan Matte Pearl White 1 yang cantik!
YZF-R3 ABS dan YZF-R25 ABS direka mengikut konsep superbike untuk kegunaan harian, menggabungkan prestasi tinggi dengan tunggangan harian.
Model ini dikuasakan enjin empat lejang, DOHC, silinder berkembar selari (Parallel Twin) dengan sistem penyejukan cecair.

YZF-R3 digerakkan enjin 320cc yang menghasilkan kuasa maksimum 42PS pada 10,750rpm serta tork maksimum 30Nm pada 9,000rpm.
Sementara itu, YZF-R25 dilengkapi enjin 249cc, dengan kuasa maksimum 35PS pada 12,000rpm dan tork maksimum 23Nm pada 10,000rpm.
Klac A&S® ringan dan mudah dikendalikan, mengurangkan beban semasa menunggang. Penukar cepat ditawarkan sebagai pilihan.

Dari segi rekaan, bahagian hadapan direka dengan lampu posisi berkembar dan menonjolkan “dua mata tajam”.
Saluran pengambilan udara berbentuk M pada bahagian tengah merupakan ciri ikonik daripada YZR-M1.
Reka bentuk kedua-dua model bukan sahaja menyerlahkan identiti agresif, tetapi juga meningkatkan aerodinamik dan prestasi keseluruhan.

Bentuk pelana dan panel sisi telah dikecilkan berbanding model 2019, membolehkan pergerakan kaki yang lebih semula jadi dan meningkatkan capaian kaki.
Kedua-dua model mempunyai berat 169 kilogram (kg) dan ketinggian pelana 780 milimeter (mm).
Untuk casis, model ini menggunakan rangka berlian daripada paip keluli berdiameter 35 mm, menjadikannya ringan tetapi tetap kukuh dengan keseimbangan ketegaran yang baik.

Suspensi depan jenis terbalik dengan tiub dalam berdiameter 37 mm.
Reka bentuk ini membolehkan sambungan lebih panjang antara tiub dalam dan luar, memberikan ketegaran tinggi pada bahagian hadapan untuk kawalan yang lebih stabil.
Tetapan khas bagi daya redaman dan kadar spring memastikan keseimbangan antara pemanduan sporty dan keselesaan.

Ciri ini menjadikannya sesuai untuk tunggangan jarak jauh yang lebih stabil di lebuh raya.
Suspensi belakang Monocross direka untuk penyesuaian dalam pelbagai situasi, daripada pemanduan santai di jalanan hingga tunggangan agresif di litar.
Ia menawarkan daya serapan hentakan tinggi pada peringkat awal pergerakan suspensi serta ciri redaman optimum pada strok maksimum.

Lengan ayun belakang asymmetrical 573 mm membantu mengurangkan kadar perubahan sudut permukaan jalan ketika mengambil selekoh serta semasa pecutan dan nyahpecutan.
Selain itu, ia turut meningkatkan kecekapan penghantaran kuasa ke tayar belakang, menghasilkan kawalan yang lebih ringan dan responsif.
Untuk pembrekan, cakera berdiameter 298mm dengan pemasangan terapung dipadankan dengan angkup omboh untuk cengkaman yang lebih baik.

Bahagian belakang dilengkapi cakera berdiameter 220mm dengan angkup satu omboh bagi memastikan kestabilan semasa membrek.
Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) tersedia pada kedua-dua brek hadapan dan belakang.
Yamaha YZF-R25 dan YZF-R3 diimport dari Indonesia dan masing-masing ditawarkan pada harga 690,800 yen (RM20,339) dan 726,000 yen (RM21,377).
Yamaha YZF-R25 2025:
Yamaha YZF-R3 2025: