#BIMS2025 : Honda e:N1 rasmi jual di Thailand, harga RM157k

34

Honda e:N1 rasmi dijual di pasaran Thailand pada harga mula THB 1.199 juta (RM156,700).

Ia didatangkan dengan dua pilihan warna iaitu Black Pearl manakala pelanggan yang memilih Platinum White Pearl perlu membayar tambahan THB 1.203 juta (RM157,223).

Kereta elektrik (EV) tersebut melakukan debut pada Pameran Motor Antarabangsa Bangkok (BIMS) tahun lalu dan jualan rasminya diumumkan pada BIMS 2025. 

Selepas setahun, EV tersebut rasmi dijual di negara jiran manakala Malaysia akan menyusul tahun ini juga. 

Honda e:N1 dibangunkan di atas platform HR-V yang diubahsuai untuk kegunaan kereta elektrik. Honda menggelarnya sebagai platform e:N Architecture F yang menggunakan penggerak roda depan dan memiliki trenkuasa 3 dalam 1 iaitu pacuan kuasa, motor dan kotak gear.

e:N1 menghasilkan kuasa 204PS dan tork 310Nm dengan bantuan bateri 68.8kWh. Manakala jarak perjalanan dengan bateri penuh mampu mencapai 500km (NEDC).

Pecutan 0-100kmj mampu dicapai dalam tempoh 7.7 saat dengan kelajuan maksimum 160kmj. 

EV itu disokong dengan pengecas DC CCS2 sehingga 78kW yang mana mengambil masa 45 minit bagi isian bateri 10 hingga 80 peratus. Sementara, pengecas AC 11kW pula memerlukan 6 jam untuk mencapai tenaga bateri 100 peratus. 

Penampilan e:N1 sedikit berbeza dengan HR-V, fascia depan hadir tanpa gril dan digantikan dengan slot pengisian kuasa. Beralih ke bahagian sisi, rekaan rim 18-inci dua tona warna tampil berbeza dengan versi petrol HR-V. 

Di belakang, penambahan lencana ‘Honda’ di bahagian tengah pintu but serta kemas kini rekaan lampu henti di samping spoiler dan antena shark fin. 

Kereta itu dilengkapi dengan tempat duduk sport kemasan kulit berwarna hitam yang dipadankan dengan kemasan putih dan jahitan biru.

Bahagian konsol tengah direka bentuk semula untuk menempatkan skrin hiburan 15.1-inci menegak yang besar dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Selain itu, di depan pemandu menempatkan skrin TFT 10.25-inci, bersama-sama dengan susunan tombol ringkas dan punat brek parkir elektrik. 

SUV segmen-B itu merupakan unit yang diimport (CBU) sepenuhnya dari China, seperti yang dipasang oleh Dongfeng Honda Automobile.

Honda e:N1 Thailand itu didatangkan dengan jaminan 8 tahun atau 160,000km bagi bateri dan sistem pacuan EV.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here