
Polis sedang menjalankan siasatan melibatkan insiden seorang penunggang motosikal dipukul seorang penunggang lain di persimpangan lampu isyarat di Tampoi, di Johor Bahru kelmarin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada mangsa.
Katanya, rakaman video yang memaparkan insiden tersebut turut tular di media sosial termasuk aplikasi TikTok.
“Mangsa yang berusia 29 tahun membuat laporan polis berhubung insiden tersebut pada pukul 4.29 petang semalam. Dia mendakwa kejadian berlaku pada pukul 4.40 petang kelmarin di persimpangan Jalan Tampoi dan Jalan Persiaran Tanjung.
“Ketika mangsa memberhentikan motosikal di lampu isyarat, berlaku perselisihan faham dengan seorang lelaki tidak dikenali yang turut berhenti di persimpangan itu.
“Mangsa mendakwa dipukul beberapa kali di bahagian kepala sebelum suspek beredar dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di talian 07-5563122 bagi membantu siasatan.