UMW Toyota Motor (UMWT), dengan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia (MOE) mengumumkan pembukaan rasmi pendaftaran bagi Toyota Eco Youth (TEY) 2025.
Inisiatif itu menggalakkan pelajar sekolah menengah di seluruh negara untuk membangunkan solusi isu-isu alam sekitar yang inovatif dan mampan.
Memasuki edisi ke-24, TEY 2025 berazam mencipta impak lebih besar dengan menggandakan jumlah penyertaan sekolah serta menaikkan jumlah dana kepada RM167,000.
Langkah itu bukan sahaja membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda. Malah memberi dorongan kepada mereka untuk menjadi pelopor perubahan demi masa depan yang lebih hijau dan mampan.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2001, TEY memberi manfaat kepada hampir 600 sekolah dan lebih 300,000 pelajar di seluruh Malaysia, membimbing mereka membangunkan kemahiran kritikal untuk menjadi pemimpin perubahan dalam komuniti.
Toyota tidak hanya membimbing peserta sepanjang tempoh pertandingan, tetapi menyokong mereka dengan memberi bimbingan mendalam, pendedahan kepada industri, serta peluang menerapkan pembelajaran mereka dalam menangani cabaran alam sekitar sebenar.
Melalui usaha berterusan ini, TEY terus menjadi platform unggul dalam melahirkan generasi muda yang cakna dan proaktif terhadap kelestarian alam.
Buat julung kalinya, 30 sekolah akan mengambil bahagian dalam TEY. Ia meningkat dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya dan setiap sekolah terpilih bakal menerima geran berjumlah RM3,000, menjadikan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM90,000 bagi merealisasikan projek kelestarian mereka.
Selain dana projek, pelajar juga berpeluang merebut hadiah wang tunai RM77,000 dalam pelbagai kategori:
- Juara: RM 30,000
- Naib Juara: RM 20,000
- Tempat Ketiga: RM 10,000
Pemenang Sub-Kategori (RM5,000 setiap satu):
- Kempen Media Sosial Terbaik
- Pembentangan Terbaik
- Pameran Terbaik
Guru Penasihat Terbaik: RM2,000
Sementara itu, Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K berkata, TEY bukan sekadar meningkatkan kesedaran terhadap isu alam sekitar, ia adalah tentang tindakan yang diambil.
Menurutnya, dengan menggandakan jumlah penyertaan sekolah dan menyalurkan dana yang lebih besar, pihaknya menawarkan lebih banyak peluang kepada pelajar untuk merangka penyelesaian inovatif yang mampu menggerakkan Malaysia ke arah masa depan yang lebih lestari.
“Kami teruja untuk menyaksikan bagaimana peserta tahun ini akan mencipta perubahan dan menginspirasi masyarakat dengan idea-idea mereka,” katanya.
Pendaftaran TEY 2025 kini dibuka, sekolah berminat perlu mendaftar sebelum 3 April 2025. Majlis pelancaran rasmi, bengkel, dan upacara pembukaan akan berlangsung dari 28 April hingga 30 April 2025.
Daftar sekarang: https://bit.ly/TEY2025_RegisterNow