
Idea menggabungkan transmisi manual pada kenderaan elektrik bukanlah satu benda baharu, Lexus dan Toyota telah berjaya membuktikan perkara tersebut boleh direalisasikan.
Terbaharu, Ford mendaftarkan paten yang dinamakan sebagai Shifter Assembly for Electric Vehicle yang memaparkan tuil transmisi olskool yang dipasangkan pada sebuah kotak.
Tidak seperti pemasangan pada kereta manual yang konvensional, tuil transmisi ini hanyalah sekadar dipasang pada seksyen yang ditinggikan pada lantai EV dan dihubungkan dengan beberapa unit penggerak (actuator) yang dikawal secara elektronik.
Menurut dokumen paten tersebut, tetapan ini akan menguruskan aliran tenaga elektrik yang diedarkan oleh pek bateri, serta mengawal kelajuan motor dan tork yang dihasilkan oleh setiap motor.
Bergantung kepada kedudukan tuil transmisi, isyarat akan dihantar kepada sistem kawalan untuk mengubah output daripada motor elektrik – menyerupai penukaran gear pada transmisi manual yang sebenar.
Tidak dapat dinafikan, kebanyakan EV dalam pasaran sudah pun sedia pantas dan tidak memerlukan padanan transmisi seperti kereta ICE konvensional.
Namun, dengan paten terbaharu ini Ford mahu menawarkan satu pengalaman mengujakan pemandu yang sukar didapati pada mana-mana EV moden.