
Tahun 2025 menandakan ulang tahun ke-60 sejak Honda mula-mula bertapak di negara jiran Thailand.
Untuk meraikan pencapaian tersebut, Cub House Honda Thailand mengumumkan penawaran model edisi istimewa Honda Monkey Chrome Legacy untuk pasaran tersebut.
Seperti nama yang tertera, jentera 125 cc ini diberikan kemasan warna krom pada panel badan dan tangki, diikuti logo sayap Honda vintaj dan logo dua ekor monyet.
Honda Monkey ini juga diberikan pelana rekaan vintaj, lengkap dengan dekorasi stud kalis karat pada bahagian sisi.
Pembeli juga boleh mendapatkan helmet edisi terhad yang turut membawakan logo sama pada Monkey Chrome Legacy serta emblem dua ekor monyet dan logo ulang tahun ke-60.
Tiada sebarang angka produksi didedahkan, namun setiap unit Chrome Legacy ini akan diberikan nombor siri khas dan harga jualan bermula dari THB117,000 (RM15,282).
Berita kurang enak, anda perlu mendapatkan motosikal edisi terhad ini menerusi Cub House Honda Thailand sebelum tempahan ditutup pada 6 April ini.