
Sejak dilancarkan pada tahun 2019, Toyota Yaris terus menikmati jualan yang kukuh, mencerminkan kesetiaan pelanggan terhadap kualiti dan prestasi model ini.
Sebagai contoh, pada Disember 2024, jualan Yaris melonjak kepada 1,312 unit, mencatat peningkatan ketara berbanding 957 unit pada Oktober dan 945 unit pada November.
Persoalannya, apakah rahsia di sebalik populariti Yaris yang terus memikat hati?
Reka bentuk yang menarik, prestasi yang cekap dan kualiti yang dipercayai menjadikan Yaris pilihan utama ramai pelanggan, seperti yang dibuktikan oleh angka jualannya.
- Keyakinan dalam Setiap Pemanduan
Toyota Yaris dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan yang menjamin keyakinan pemandu.
Di antaranya Sistem Pra-Pelanggaran (PCS) yang berfungsi mengurangkan risiko pelanggaran depan dengan memberikan amaran kepada pemandu dan mengaktifkan brek secara automatik jika perlu.
Selain itu, Sistem Amaran Penukaran Lorong (LDA) membantu pemandu mengekalkan kenderaan dalam lorong yang betul dengan memberikan amaran jika kenderaan mula tersasar.
Kedua-dua sistem ini adalah sebahagian daripada pakej Toyota Safety Sense (TSS) yang terdapat pada ketiga-tiga varian Yaris.
Tidak ketinggalan, Yaris juga dilengkapi dengan Pengawasan Titik Buta (BSM) yang memberikan amaran jika terdapat kenderaan di kawasan titik buta, serta Amaran Lalu Lintas Belakang (RCTA) yang memudahkan pemandu ketika mengundur dari petak parkir.
Selain itu, Yaris dilengkapi skrin Paparan Panoramik 3D (PVM) yang membantu pemandu melihat persekitaran kenderaan dengan lebih jelas.
Keselamatan pemandu dan penumpang ditingkatkan dengan tujuh beg udara, termasuk beg udara lutut untuk pemandu.
Sistem Brek Anti-Kunci dengan Pembahagian Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA) membantu dalam prestasi brek yang berkesan.
Sistem Kawalan Penstabilan Kenderaan (VSC) dan Kawalan Cengkaman (TRC) berfungsi dalam memastikan cengkaman yang lebih baik di jalan raya.
Bantuan Mula Mendaki (HAC) memudahkan pemandu dengan memastikan kenderaan tidak mengundur ke belakang ketika berada di kawasan curam.
Kamera Papan Pemuka boleh dikatakan perkakasan wajib dan pemilik Yaris tidak perlu mengeluarkan kos tambahan. Yaris dilengkapi Perakam Video Digital Depan yang boleh disambungkan ke telefon pintar.
Untuk bahagian belakang, Toyota menawarkan Perakam Video Digital Belakang (DVR) dan menambah keyakinan di jalan raya.
Satu lagi ciri menarik ialah Sistem Telematik Kenderaan (VTS) yang membolehkan pemandu memantau kenderaan secara masa nyata dan memeriksa tahap kesihatan bateri melalui aplikasi telefon pintar.
Keprihatinan Toyota dibuktikan lagi dan setiap Yaris sudah lengkap dengan tag RFID pada cermin. Satu langkah kecil namun bermanfaat.
Kesemua ciri-ciri ini menjadikan Yaris sebagai kenderaan yang selamat dan dipercayai. Satu lagi yang meyakinkan, Yaris mencatatkan skor lima bintang ASEAN NCAP.
- Kualiti Toyota yang Terbukti
Toyota telah lama dikenali sebagai jenama yang menitikberatkan kualiti. Pada tahun 2024, Toyota mencatatkan jualan hampir 9.5 juta unit, sekaligus mengekalkan kedudukannya sebagai pengeluar kenderaan nombor satu di dunia.
Salah satu faktor utama yang sering disebut mengenai Toyota adalah enjin yang bagus.
Yaris menggunakan enjin 1.5 liter 2NR-FE yang menghasilkan kuasa 107 ps pada 6,000 rpm dan tork 140Nm pada 4,200 rpm.
Enjin ini dipadankan dengan kotak gear CVT tujuh kelajuan berjujukan (Sport Sequential Shiftmatic) dan pedal pada stereng untuk pengalaman memandu yang lebih menyeronokkan.
Pemandu juga boleh memilih di antara mod Eco untuk penjimatan bahan api atau mod Sport untuk prestasi yang lebih dinamik.
Dari segi kecekapan bahan api, Yaris mencatatkan penggunaan petrol 5.8 liter per 100 kilometer (l/km) (pemanduan lebuh raya dan kesesakan lalu lintas).
Selain itu, Yaris juga diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) oleh Kerajaan Malaysia.
UMW Toyota turut menawarkan jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan yang membuktikan keyakinan syarikat terhadap kualiti produk mereka.
Yaris juga dilengkapi dengan ciri-ciri praktikal seperti kerusi belakang yang boleh dilipat dalam nisbah 60:40 untuk memuatkan barang yang panjang, serta pengecas tanpa wayar dan port USB Jenis-A di depan dan dua port Jenis-C di belakang.
- Nilai Terbaik
Toyota Yaris hadir dalam tiga varian yang direka untuk memenuhi pelbagai keperluan pemandu iaitu 1.5E, 1.5G dan 1.5G Limited. Harga yang ditawarkan ialah RM88,000 untuk varian 1.5E, RM91,600 untuk varian 1.5G dan RM99,600 untuk varian 1.5G Limited.
Varian 1.5G menawarkan ciri-ciri premium seperti stereng balutan kulit, pedal gear dan brek cakera belakang.
Yaris 1.5G Limited pula direka khas untuk pemandu yang menginginkan prestasi yang lebih tinggi.
Varian ini dilengkapi dengan penapis udara terbuka (cold air intake) untuk pembakaran yang lebih cekap dan pecutan yang lebih baik.
Varian ini turut dilengkapi Pengawal Pendikit (Throttle Controller) yang meningkatkan respons enjin dan kuasa pecutan.
Ciri sporti Yaris 1.5G Limited diperhebatkan lagi dengan set pendakap badan dan penyerap hentak khas yang meningkatkan kestabilan dan ketepatan stereng.
- Kos Penyelenggaraan Untuk Pelbagai Kategori Pemandu
Berkenaan kos penyelenggaraan, UMW Toyota menyusun jadual berkala mengikut kategori Advance, Advance Plus atau Basic di dalam Pakej Maxcheck.
Pemilik yang jarang memandu dapat berjimat manakala pemandu yang kerap berada di jalan raya boleh memilih pakej penyelenggaraan terbaik untuk Yaris mereka.
Pakej Basic direka untuk pelanggan yang jarang memandu dengan penyelenggaraan bermula pada bulan kesembilan atau 15,000 km dan berterusan setiap enam bulan atau 25,000 km.
Pakej Advance dirangka untuk penyelenggaraan setiap enam bulan atau 10,000 km manakala Advance Plus pada setiap 24 bulan atau 40,000 km dan seterusnya.
Pakej Basic ditawarkan pada harga berpatutan iaitu RM208, RM238 atau RM328 mengikut jenis pelincir.
Untuk pakej berkala Advance, kos bergantung kepada jenis pelincir dan pemilik hanya perlu membayar RM338 (sintetik), RM368 (sintetik penuh 0W 20) atau RM458 (sintetik penuh 5W 40).
Kos untuk penukaran minyak CVT dan barangan berkaitan pada setiap 80,000 km berharga RM290 dan palam pencucuh Iridium pada setiap 100,000 km berharga RM350.
- Yaris Bukan Sekadar Hatchback Sporti!
Toyota Yaris bukan sekadar hatchback sporti dengan rekaan yang menarik, tetapi ia juga merupakan kenderaan yang menawarkan gabungan di antara keyakinan, kualiti dan nilai terbaik.
Dengan ciri keselamatan Toyota Safety Sense (TSS), enjin 1.5 liter yang cekap dan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan, Yaris membuktikannya sebagai kenderaan yang boleh diharap dan tahan lasak.
Tambahan pula, dengan harga yang berpatutan bermula dari RM88,000, Yaris menawarkan nilai yang baik dalam segmen hatchback bukan nasional.
Sama ada anda seorang pemandu harian yang mementingkan keselamatan dan penjimatan bahan api, atau pencinta prestasi yang menginginkan kelajuan dan kestabilan, Yaris mampu memenuhi pelbagai keperluan pemandu.
Dengan rekod jualan yang memberangsangkan dan pengiktirafan sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV), Yaris bukan sahaja menjadi pilihan ideal bagi mereka yang mencari kenderaan berkualiti tinggi, tetapi juga bukti komitmen Toyota dalam menyediakan produk yang memenuhi harapan pelanggan.
Jika anda mencari hatchback yang menggabungkan prestasi, keselamatan dan nilai wang yang baik, Toyota Yaris adalah jawapannya.