
Puspakom mengumumkan pelarasan kadar caj bagi perkhidmatan bergerak mulai 1 April 2025 dengan kenaikan antara 10 hingga 20 peratus bagi memastikan kelestarian perkhidmatan itu dapat diteruskan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman, berkata kadar baharu itu hanya melibatkan caj perkhidmatan bagi Van Bergerak (MVS) dan Trak Bergerak (MTS), manakala fi pemeriksaan kenderaan di cawangan Puspakom kekal tidak berubah.

“Pindaan kadar caj ini dibuat selepas kajian menyeluruh bagi memastikan operasi perkhidmatan bergerak dapat dikekalkan dengan mengambil kira peningkatan kos,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut Mahmood Razak, caj perkhidmatan bagi MTS untuk 50 kilometer pertama akan dinaikkan sebanyak 10 peratus, iaitu daripada RM3,000 kepada RM3,300.
Sementara itu, caj bagi MVS meningkat sebanyak 20 peratus, daripada RM100 kepada RM120 bagi setiap unit.
Jelasnya, MTS menyediakan pemeriksaan untuk syarikat yang memiliki jumlah kenderaan besar seperti operator kenderaan perdagangan, syarikat penghantaran barang, sekolah memandu dan pengedar kenderaan.
“Manakala MVS memberi kemudahan pemeriksaan untuk kenderaan persendirian seperti tukar hak milik, cukai jalan tamat tempoh dan pendaftaran kenderaan import.
“Kali terakhir semakan harga caj perkhidmatan ini dibuat adalah pada 2007, sedangkan kos operasi serta Indeks Harga Pengguna (CPI) meningkat setiap tahun,” jelas Mahmood.
Pelanggan yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan bergerak Puspakom boleh membuat tempahan individu melalui aplikasi MyPUSPAKOM.
Bagi tempahan secara pukal, mereka boleh menghubungi pasukan pemasaran Puspakom di marketing@puspakom.com.my.