
Perjalanan panjang melalui laut menjadi pilihan sejumlah warga Indonesia yang ingin pulang ke kampung tahun ini.
Mereka menaiki Kapal Perang Republik Indonesia (KRI) Banjarmasin 592 yang bertolak dari pelabuhan Kolinlamil, Tanjung Priok, Jakarta Utara ke Semarang dan Surabaya, semalam.

Walaupun tempoh perjalanan yang agak lama berbanding laluan darat tetapi sebahagian penumpang kapal perang itu mengakui lebih selesa pulang melalui laut.
Nuryani, 45 dari Bekasi berkongsi selama ini pulang ke kampung Semarang, Jawa Tengah, menggunakan kereta.
“Sepertinya perjalanan agak panjang kira-kira 20 jam, tidak apa lama, santai saja tidak perlu tergesa-gesa,” katanya.
Selain kereta dia sekeluarga juga pernah pulang ke kampung menggunakan bas dan tahun ini mereka turut membawa bersama dua buah motor ke dalam kapal untuk digunakan apabila pulang semula pada 6 April depan.
“Tahun lalu Pelayaran Nasional Indonesia (Pelni) tawar pulang ke kampung percuma cuma tiada tahun ini tetapi TNI angkatan laut anjur pulang percuma.
“Mungkin warga yang sangat menunggu (pulang percuma) naik kapal yang boleh bawa motor, sangat bersyukur dengan program ini,” lanjut Nuryani.
Berdasarkan data dari TNI AL, sebanyak 1,642 perantau menumpang KRI Banjarmasin 592 menuju Semarang dan Surabaya. Kapal tersebut berangkat pada Khamis pagi dan akan kembali berlabuh di Jakarta pada 6 April depan.