
Aliran trafik di beberapa lebuhraya utama dilaporkan perlahan hingga 4.15 petang susulan beberapa insiden kemalangan yang berlaku akibat peningkatan jumlah kenderaan sempena Aidilfitri.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata setakat 4.15 petang, trafik semakin padat di sekitar Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bagi laluan El dan E2 di kedua-dua arah serta di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK).
“Di Lebuhraya PLUS El arah utara, trafik perlahan dari Bukit Lanjan ke Hospital Sungai Buloh, Rawang Selatan ke Rawang, dan dari Sungkai ke Sungai Bidor ekoran kemalangan di Kilometer (KM) 341.6 yang menyebabkan lorong kecemasan terhalang.
“Bagi arah selatan pula, trafik turut perlahan dari Permatang Pauh ke Perai,” katanya.
Sementara itu, di Lebuhraya PLUS E2 arah utara, trafik bergerak perlahan dari Pasir Gudang ke Kempas dan dari Pulai ke Sedenak akibat kemalangan di KM40.9 yang menghalang lorong kanan dan lorong kecemasan, mengakibatkan kesesakan sepanjang 16 km.
Jurucakap itu turut memaklumkan berlaku kesesakan dari Plaza Tol Sungai Besi menghala ke Pusat Bandar Kuala Lumpur.
“Di Lebuhraya KLK, trafik perlahan arah timur dari Plaza Tol Gombak ke Lentang namun aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) I dan LPT 2 masih lancar,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal dan boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol PLUSLine 1-800-88-0000 dan akaun X @plustrafik atau talian LLM 1-800-88-7752 serta akaun X @llmtrafik.