
Undang-undang baharu yang bakal dilaksanakan di pasaran Eropah dilihat dapat memberikan impak yang besar terhadap sektor ekzos aftermarket.
Menurut laporan VisorDown, sistem ekzos aftermarket akan dipastikan supaya tidak menghasilkan bunyi yang lebih bising berbanding tetapan OEM.
Ini kerana ada produk ekzos aftermarket yang dijual mempunyai fungsi baffle atau “DB killer” pada penghujung penyenyap yang dapat mengubah kekuatan bunyi ekzos yang dihasilkan.
Dalam kes tertentu, komponen ini amat mudah untuk dibuang keluar, menjadikan sistem ekzos yang lebih bising.
Dengan pelaksanaan undang-undang baharu, komponen baffle tersebut akan diintegrasikan sepenuhnya dalam sistem ekzos, menjadikan pemilik sukar untuk membuang bahagian yang amat penting tersebut.
Garis panduan terbaharu itu bertujuan untuk memerangi pencemaran bunyi ekzos yang keterlaluan, dan turut disokong sendiri oleh Persatuan Pengeluar Motosikal Eropah (ACEM).
Menurut Antonio Perlot selaku Setiausaha Agung ACEM berkata, “Pelaksanaan undang-undang anti-gangguan baharu ini menandakan langkah penting dalam memastikan komponen pengganti bukan original (bukan OEM) mematuhi piawaian kawal selia sedia ada.
“Langkah positif ke hadapan ini akan memperkukuhkan usaha untuk menangani masalah bunyi bising yang dibangkitkan oleh rakyat dan penggubal dasar,” ujarnya lagi.