Sebanyak 85 hingga 90 peratus rakyat negara ini dijamin tidak akan terjejas dengan apa jua kaedah yang bakal diperkenalkan menerusi penyasaran subsidi RON95 kelak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya mengulangi gesaan sedemikian memandangkan terlalu ramai mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung perkara berkenaan sejak akhir-akhir ini.
“Mekanisme secara terperinci kita akan buat tetapi saya tak fikir rakyat perlu runsing sebab 85 hingga 90 peratus mereka tak terkesan dengan apa pun kaedah yang diperkenalkan dalam isu ini.
“Janganlah dengar fitnah-fitnah yang dibangkitkan, bulan puasa pun mereka bangkit contohnya kerajaan naikkan tarif elektrik. Padahal yang naik itu untuk golongan kaya sahaja, begitu juga isu RON95.
“Ia cuma dikenakan hanya kepada warga asing dan kelompok mahakaya. Kalau pendapatan lebih RM50,000 sebulan, bayarlah sikit. Wartawan di hadapan saya pun takkan terkesan (dalam nada gurau),” katanya.
Sebelum ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan, kerajaan akan mengumumkan mekanisme lengkap bagi melaksanakan penyelarasan subsidi minyak petrol RON95 kepada rakyat selepas separuh pertama tahun ini menggunakan sistem pengenalan diri, MyKad dan dua kadar harga.