
Polis mengesahkan letupan yang berlaku dalam kebakaran sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Bukit Permata dekat Lumut pada Jumaat berpunca daripada mercun.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, siasatan mendapati pemandu Proton Gen-2 berusia 24 tahun itu ada menyimpan bekalan mercun dalam but kenderaannya.
“Kejadian yang berlaku sekitar jam 5.30 petang itu telah dimaklumkan oleh orang awam kepada polis.
“Anggota yang tiba di lokasi kejadian mendapati kebakaran berlaku di bahagian belakang kenderaan dan terdapat letupan mercun.
“Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Kejadian tersebut tular selepas beberapa video dipercayai dirakam orang awam dikongsi di media sosial.
Hasbullah berkata, hasil siasatan mendapati sebelum kebakaran berlaku, kereta tersebut mengalami kerosakan dan pemandu cuba menghidupkannya semula.
Katanya, ketika itu kepulan asap sudah dilihat keluar dari tayar belakang sebelum api menyala.
“Pemandu mengakui terdapat mercun yang disimpan dalam but kenderaan untuk kegunaan semasa hari raya,” katanya.
Orang awam yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian itu diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-688 6222 bagi membantu siasatan.