Merempit, JPJ Terengganu sita 19 buah motosikal

53

Sebanyak 19 buah motosikal disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu kerana melakukan aksi bahaya dan merempit pada Sabtu.

Pengarahnya, Mohd Zamri Samion berkata, semua kenderaan itu ditahan dalam dalam pemeriksaan Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) di kawasan Dataran Drawbridge dan Bandar Baharu Kuala Nerus bermula jam 9 malam.

Katanya, pemeriksaan dilakukan anggota dan pegawai berpakaian preman yang membuat pemantauan di kawasan berkenaan bermula 24 Mac lalu.

“Bermula 24 Mac lalu, beberapa anggota dan pegawai berpakaian preman ditugaskan melakukan pemantauan dan rondaan di kawasan berkenaan.

“Dua kawasan berkenaan (Dataran Drawbridge dan Bandar Baharu Kuala Nerus)) dikenalpasti menjadi lokasi baharu golongan bermotosikal melakukan aksi bahaya dan merempit.

“Tindakan itu membahayakan orang ramai dan pengguna jalan raya lain kerana Dataran Drawbridge menjadi lokasi tumpuan orang ramai untuk beriadah termasuk pelancong luar yang datang bercuti di negeri ini,” katanya.

Selain Dataran Drawbridge, pemeriksaan juga turut dilakukan di sekitar Bandar Baharu Kuala Nerus yang juga menjadi tumpuan ramai.

Menurut Mohd Zamri, pihaknya akan merakam aksi golongan terbabit sebelum menahan kenderaan itu ketika kenderaan berhenti selepas melakukan aksi.

Katanya, semua motosikal yang ditahan dibawa ke pejabat JPJ untuk pemeriksaan lanjut dan proses dokumentasi.

Menurutnya, pelbagai kesalahan dikesan antaranya melakukan pengubahsuaian ekstrem (melampau) seperti tidak memiliki brek belakang, tiada cermin sisi, penggunaan tayar sotong (halus), nombor pendaftaran dan ‘swing arm’ tidak mengikut spek (spesifikasi) yang dibenarkan dan ekzos bising.

“Manakala bagi penunggang pula berusia antara 16 hingga 27 tahun, ada yang tidak memiliki lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh dan tidak memiliki road tax serta bawah umur,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here