
Proton X70 yang disewa tujuh pelajar UNITEN dari Sudan terbenam di Pantai Cahaya, Port Dickson, pada Khamis.
Kejadian itu dipercayai berlaku selepas tayar kereta berkenaan tersangkut pada pasir pantai.
Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintenden Mohd Ruslan Mat Kib berkata, pelajar tersebut seramai tujuh orang tiba di kawasan pantai berkenaan kira-kira jam 6 pagi hingga 7 pagi untuk berkelah.
“Mereka yang merupakan warga Sudan telah pergi ke kawasan tepi pantai, namun tayar kenderaan yang dinaiki tersangkut pada pasir pantai.
“Mereka kemudiannya cuba mendapatkan khidmat tunda kenderaan, namun sekitar jam 9 pagi air laut pasang hingga menyebabkan kenderaan yang disewa mereka masuk ke dalam laut,” katanya.
Menurutnya, polis menerima maklumat kejadian pada jam 10.30 pagi selepas ia tular di media sosial.
Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, didapati kenderaan utiliti sukan (SUV) terbabit telah pun dibawa keluar.
“Hasil temu bual dengan pelajar berkenaan, mereka datang ke situ untuk berkelah sambil barbeku sempena cuti Aidilfitri,” katanya.