Perang harga jenama China jejas industri automotif tempatan

105

Perang harga jenama automotif dari China berpotensi menjejaskan industri automotif tempatan, khususnya pengeluar peralatan asal (OEM) yang memiliki operasi pembuatan di Malaysia.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata pemberian diskaun besar-besaran jenama tertentu, meskipun memberi manfaat kepada pelanggan turut membawa kesan berantai kepada vendor tempatan yang sekian lama membekalkan komponen dan bahagian kenderaan.

Roslan Abdullah

“Kesan perang harga ini bukan sahaja menjejaskan OEM yang memiliki kilang pembuatan dan pemasangan di negara ini, malah memberi impak kepada vendor serta pengedar tempatan.

“Keadaan ini berlaku apabila lambakan stok meningkat susulan pelanggan lebih memilih kenderaan ditawarkan pada harga lebih rendah. Pada masa sama, terdapat pelanggan mengambil pendekatan tunggu dan lihat dengan harapan harga akan terus menurun,” katanya kepada Berita Harian. 

Tambah beliau, perang harga yang berlaku turut memberi kesan kepada pasaran kenderaan terpakai, apabila penurunan harga drastik menjejaskan nilai jualan semula kenderaan.

“Sebagai contoh, jika sebuah kenderaan jenama A dibeli pada harga RM100,000, kemudian dijual pada harga lebih rendah, katakan RM80,000 selepas diskaun, ini akan memberi kesan besar kepada nilai susut harga kenderaan tersebut. Pasaran perniagaan tukar beli (trade-in) juga akan menerima impak negatif.

“Kesan ini membuatkan pelanggan lebih cenderung membeli kenderaan baharu kerana harganya lebih kompetitif berbanding kenderaan terpakai,” katanya.

Menurutnya, OEM tempatan tidak mampu menurunkan harga kenderaan setanding dengan jenama China kerana kos operasi yang lebih tinggi, termasuk kos pembuatan, vendor serta rantaian bekalan.

“OEM perlu memastikan kelangsungan perniagaan. Kami tidak boleh menurunkan harga ke tahap terlalu rendah, namun boleh menawarkan diskaun atau promosi seperti rebat tunai dan pakej aksesori untuk mengimbangi harga pasaran,” katanya.

PROTON BERHATI-HATI PASTIKAN UNTUNG SYARIKAT TIDAK TERJEJAS

Roslan berkata, Proton mengambil langkah berhati-hati dalam memastikan keuntungan syarikat tidak terjejas dalam jangka panjang, memandangkan ia bukan sahaja menggaji lebih 7,000 pekerja, tetapi lebih 5,000 pekerja dalam rangkaian jualannya.

“Vendor berskala besar mungkin boleh bertahan kerana mereka mempunyai perkongsian dengan jenama lain. Namun, vendor kecil yang bergantung kepada satu jenama pasti terkesan,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan jenama menurunkan harga mendapat kelebihan daripada konsep import sepenuhnya (CBU) atau pemasangan separa (SKD), yang memerlukan pelaburan lebih rendah berbanding OEM tempatan seperti Proton.

“Pelaburan mereka di Malaysia masih minimum. Oleh itu, mereka mampu menawarkan diskaun besar kerana kos operasi juga rendah. Namun, ini memberi tekanan kepada syarikat beroperasi di Malaysia dalam jangka panjang,” katanya.

Roslan turut menekankan kepentingan penilaian semula terhadap impak perang harga ini bagi melindungi jenama yang sudah lama bertapak di Malaysia.

Jelasnya, kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) adalah sasaran kerajaan, namun kajian semula perlu dilakukan bagi memastikan jenama pemasangan tempatan (CKD) yang mempunyai kilang dan rangkaian vendor sendiri dapat terus berdaya tahan. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here