Kerja korek tidak lebih 3 meter, tiada gangguan ketara pada paip gas

167

Keadaan fizikal paip saluran gas yang terlibat dalam insiden letupan dan kebakaran di Putra Heights, Selasa lalu tidak menunjukkan sebarang kesan gangguan yang ketara.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya telah menggali semula laluan paip kumbahan yang dipasang oleh sebuah syarikat kontraktor.

Beliau berkata, langkah itu diambil bagi mengenalpasti sama ada kerja-kerja korekan oleh kontraktor itu mempunyai kaitan dengan kejadian kebakaran tersebut.

Menurutnya, kerja-kerja korekan yang dilakukan kontraktor tidak melebihi kedalaman tiga meter sepanjang kira-kira 30 meter dengan lebar sekitar 1.5 meter.

“Saluran gas berada pada kedalaman 5.6 meter, manakala paip kumbahan yang dipasang berada pada paras 2.1 meter.

“Hasil semakan mendapati keadaan fizikal saluran gas setakat ini tidak menunjukkan sebarang kesan gangguan yang ketara,” katanya.

Tambah beliau, laluan jalan yang digunakan merentasi saluran paip gas Petronas merupakan jalan yang diluluskan pihak berkuasa.

“Kerja-kerja galian yang dijalankan semula menggunakan tiga jengkaut, satu jentolak dan satu backhoe itu bertujuan untuk membuka semula kawasan berkenaan.

“Selain itu, kerja itu dilaksanakan untuk meninjau kedudukan paip gas tersebut,” katanya.

Menurutnya, siasatan masih dijalankan secara menyeluruh dan belum dapat disahkan sama ada kerja-kerja korekan tersebut mengganggu atau mencetuskan kebakaran pada saluran paip gas berkenaan.

“Kerja-kerja ini dipantau secara bersama oleh polis, Petronas, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Air Selangor dan pihak kontraktor,” katanya.

Jelasnya, keseluruhan laluan saluran paip masih perlu didedahkan sepenuhnya untuk membolehkan siasatan lengkap dijalankan dan sebarang kemungkinan dinilai dengan teliti.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here